fbpx

K2

Fenomena rojo-ne tidur tengah jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH satu gambar yang tersebar menunjukkan penduduk Okinawa tidur di atas jalan raya.

Jam menunjukkan pukul 3.20 pagi. Seorang ekspatriat Amerika Syarikat, Sarjan David Hardy seperti kelazimannya memandu tenang di sebatang jalan di Uruma, Okinawa, Jepun untuk ke tempat kerjanya di sebuah kem marin.

Sewaktu asyik memandu dalam kepekatan dinihari, tiba-tiba dia dikejutkan dengan sekujur tubuh yang terbaring di atas jalan raya lalu menghalang pemanduannya. Tidak sempat mengelak jasad itu, kereta yang dipandu Hardy kemudian telah menggilis mangsa sehingga menemui ajal.

Itu kejadian pada tahun 2018 apabila seorang anggota tentera laut AS yang bertugas di Okinawa dilaporkan melanggar mati lelaki berusia 63 tahun, Morio Sakumoto yang sedang nyenyak tidur di tengah jalan raya.

Apapun puncanya, kejadian kemalangan seperti itu kini dilaporkan semakin kerap berlaku di Okinawa yang terletak di rantau paling selatan Jepun. Fenomena tidur di atas jalan raya yang dinamakan rojo-ne semakin menjadi-jadi mutakhir ini sehingga membingungkan polis di wilayah itu.

Baru-baru ini, sebuah akhbar Jepun, Mainichi telah mengejutkan dunia apabila mendedahkan mengenai fenomena luar biasa itu yang semakin membimbangkan di Okinawa. Pada tahun lalu sahaja lebih 7,000 kes tidur di atas jalan raya diterima polis dengan beberapa kes turut menyebabkan kemalangan maut.

Fenomena ini bukan tentang kehidupan gelandangan atau orang merempat, sebaliknya rojo-ne secara literalnya bermaksud ‘tidur di atas jalan’ dalam bahasa Jepun. Istilah ini adalah perbendaharaan baharu yang terbentuk daripada aksara-aksara perkataan yang bermaksud tidur, atas dan jalan dalam tulisan kanji.

Pasukan polis di wilayah itu dipercayai menjadi satu-satunya pasukan polis di negara Jepun yang mempunyai statistik rojo-ne memandangkan krisis ini tidak berlaku di wilayah-wilayah Jepun yang lain. Ramai mengaitkannya dengan amalan mengambil minuman keras rakyatnya, namun pihak polis masih keliru mengapa krisis ini lebih cenderung terjadi di Okinawa berbanding wilayah-wilayah Jepun yang lain.

INDIVIDU yang tidur di atas jalan raya turut membahayakan pengguna lalu lintas.

Pada tahun ini, di kala seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 dan Okinawa turut terjejas lalu dikenakan perintah berkurung seperti wilayah-wilayah Jepun lain, kes ini masih tinggi di Okinawa. Sebanyak 2,702 kes rojo-ne terjadi dari Januari hingga Jun, menyamai bilangan kes tahun lalu. The Guardian bahkan menyifatkan, Okinawa bukan sahaja kini bergelut dengan pandemik Covid-19 tetapi juga ‘epidemik’ rojo-ne.

Polis Okinawa kini buntu bagaimana hendak mencegah situasi ini. Mereka fikir ia mungkin disebabkan cuaca yang lebih panas atau sikap ‘asal boleh’ penduduknya.

“Saya sendiri pun tidak tahu istilah rojo-ne sebelum datang ke Okinawa. Saya rasa ini satu fenomena unik yang hanya berlaku di Okinawa,” kata Tadataka Miyazawa yang baru ditugaskan sebagai ketua polis wilayah itu sejak Disember tahun lalu.

Cuaca

Menurut pihak polis, mereka telah menerima 7,221 panggilan kecemasan berhubung tidur di atas jalan tahun lalu dan tidak kurang juga yang tidur di tepi-tepi jalan. Lebih bahaya ada yang tidur betul-betul di tengah lalu-lintas sehingga 16 kemalangan dilaporkan terjadi pada tahun lalu dengan tiga kematian.

Rojo-ne bukanlah satu fenomena yang terjadi kerana manusia-manusia yang kurang siuman, tetapi rata-ratanya adalah kerana hilang kewarasan akal dek pengambilan alkohol berlebihan sehingga tidur di tengah lalu lintas.

“Perlu saya jelaskan yang kami tidak dapat membandingkan masalah ini dengan wilayah-wilayah lain kerana tiada statistik di tempat lain di Jepun. Bagaimanapun, dipercayai cuaca di sini yang lebih panas iaitu secara puratanya lebih 20 darjah Celsius dan penduduknya mencintai minuman beralkohol dinamakan awamori yang merupakan arak signatur Okinawa menjadi alasan di sebaliknya,” jelasnya.

Awamori ialah sejenis minuman keras atau sake yang menjadi minuman signatur di Okinawa. Ia dikatakan sebagai minuman beralkohol yang paling tua di Jepun. Sake ini diperbuat daripada peraman beras Siam, bukan beras Jepun. Sejarahnya dikatakan bermula sejak abad ke-14 apabila Dinasti Ryukyu di Okinawa banyak mengubah suai teknik membuat arak dari Thailand.

Di Okinawa, apabila peraman hendak dilakukan dan bahan persediaan dimasukkan ke dalam periuk tanah liat atau botol, proses itu dinamakan ‘biarkan bahan-bahan ini tidur’.

Seorang pengguna di Twitter dikenali sebagai Natsuko berkata: “Saya telah makan di sebuah restoran Okinawa dan minum beberapa jenis awamori. Saya terlalu mabuk sampai tidak mampu untuk berjalan.”

Seorang lagi pengguna Twitter berkata: “Selepas pulang kerja saya dan rakan-rakan telah makan di sebuah restoran di Okinawa dan kami kemudian sangat mabuk awamori. Saya tidak pernah mabuk minum alkohol sebelum ini.”

Polis berkata, sesetengah orang yang mabuk, tidur dengan menjadikan batu atau bonggol di atas jalan sebagai bantal, mungkin kerana ia sejuk dan selesa.
Terdapat juga kes mereka yang mabuk, tidur dengan menanggalkan pakaian kerana merasakan mereka sudah tiba di rumah.

Fenomena itu berbahaya bukan sahaja kepada orang yang tidur, tetapi pengguna-pengguna jalan raya juga berdepan risiko jika terlanggar mereka.

Macam-macam usaha telah dilakukan polis. Sebaik menerima aduan kes rojo-ne, polis akan mengejutkan individu yang tidur itu dan meminta mereka pulang ke rumah atau meletakkan mereka di bawah jagaan khusus jika mereka terlalu mabuk.

SUASANA malam di restoran-restoran di sekitar Okinawa yang banyak menyediakan minuman keras. – GAMBAR HIASAN

Polis juga telah memberi amaran amalan rojo-ne dalam siaran-siaran radio. Stesen Polis Yaeyama turut menayangkan foto individu rojo-ne di dewan perbandarannya untuk memberi kesedaran kepada masyarakat.

Krisis yang teruk ini turut mendapat perhatian pasukan bola keranjang terkenal Okinawa, Ryukyu Golden Kings yang terpanggil untuk berkempen menghentikan krisis itu.

Polis berkata, setakat ini, tidak ada apa-apa perubahan dapat dilihat walaupun pelbagai kempen kesedaran dilaksanakan.

“Kami akan mengambil tindakan lebih berat kepada pesalah,” kata Tatsuo Oshiro iaitu ketua polis bahagian lalu lintas wilayah itu.

Kesalahan tidur di atas jalan juga sudah termaktub dalam undang-undang di Jepun walaupun jarang berlaku. Perbuatan itu menyalahi Artikel 7 Akta Jalan Lalu Lintas dan pesalah boleh dikenakan denda sehingga 50,000 yen (RM2,000).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI