JOHOR BAHRU – Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab. Hamid masih ditahan selama 14 hari di Penjara Sungai Udang, Melaka dekat sini.
Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, lelaki berketuranan Rohingya yang berusia 33 tahun itu menjalani tempoh tahanan penjara bermula 5 hingga 18 Januari depan.
“Long Tiger masih ditahan di Penjara Sungai Udang, Melaka selama 14 hari sebagai kuarantin dan reman penjara bermula 5 hingga 18 Januari depan.
“Pihak kita telah lengkapkan kertas siasatan dan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan pertuduhan atau sebaliknya.
“Dia negatif Covid-19 cuma tahanan reman ini adalah prosedur reman penjara untuk kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan.
“Selesai jalani reman, kita akan tuduh bergantung kepada Pejabat Peguam Negara,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Sementara itu, Kok Chin berkata, lapan lagi rakan suspek berusia 30-an hingga 40-an termasuk seorang wanita yang disyaki bersubahat dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada 28 Disember lalu, penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu ditangkap ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah.
Semasa tangkapan pada pukul 3.15 petang oleh polis Bukit Aman itu, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Pada 29 Disember lalu, keempat-empat mereka termasuk lelaki yang berperwatakan perempuan yang dicekup bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani serta di Yong Peng, Batu Pahat, direman selama empat hari sehingga 1 Januari lalu.
Long Tiger bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu hadapan pada 15 Disember tahun lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.
Dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.-K! ONLINE