fbpx

Kalau tiada orang cuci pinggan, tak boleh juga – Vida

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UJAR Datuk Seri Vida, dia tidak berniat menghina pekerjaan mencuci pinggan yang dilakukan Ashira. Sebaliknya, beliau hanya mahukan yang terbaik Ashira yang berdepan banyak dugaan hidup.

PETALING JAYA – “Saya tidak sesekali memandang rendah martabat orang yang bekerja sebagai pencuci pinggan.”

Demikian tegas usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman menjawab tentang dakwaan kononnya dirinya menghina pekerjaan dilakukan penyanyi Ashira yang mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan.

Kata Vida, 50, dia hanya inginkan yang terbaik buat Ashira demi kelangsungan hidupnya terutama untuk menampung kos rawatan suami, Bad Indigo yang menderita penyakit diabetes.

“Kalau tiada orang cuci pinggan, tak boleh juga. Apa yang saya cuba sampaikan buat Ashira adalah saya mahu dia mencari rezeki yang bukan sekadar cukup makan.

“Upah cuci pinggan mungkin dapat RM20 atau RM30 sehari sedangkan dia punya potensi untuk raih pendapatkan barangkali RM1,000 sehari. Itu maksud saya.

“Sebab saya percaya, kos rawatan Bad bukan murah. Saya pasti Ashira lebih dari berkemampuan dapat gaji RM1,000 sehari berbanding RM20 atau RM30 sehari,” katanya kepada Kosmo! Online.

Mengulas lanjut, Pelantun lagu I Am Me itu berkata, Ashira berhak dan layak diberikan pekerjaan yang sesuai dengan kebaikan, bakat dan kecantikan dirinya.

“Dengan kecantikan yang dia ada, dia boleh buat banyak pekerjaan lain yang tetap halal dan lebih daripada cukup untuk menampung hidup. Terutama kos rawatan suami yang sakit.

“Saya sebenarnya kasihan dengan dia. Dia ikhlas berkahwin tetapi tak sampai beberapa ketika, suami pula jatuh sakit. Saya tengok dia tabah dan telan semua kepahitan hidup.

“Saya dah jumpa dia (Ashira dan suami). Saya sedih dengan nasib mereka. Saya taknak dia kerja sekadar cukup makan hari ini dan malamnya sahaja kerana tuntutan hidupnya lebih daripada itu,” ujarnya.

Ditanya sama ada dirinya ada menghulurkan bantuan dari segi kewangan kepada Ashira dan suami, Vida menjawab: “Saya taknak cerita nanti orang cakap saya suka menunjuk-nunjuk pula.

“Kos rawatan insya-Allah kita bantu tapi saya tak boleh tolong selamanya sebab itu saya mahu Ashira diberi atau cari kerja yang setimpal dengan bakat yang ada dalam diri demi kelangsungan hidup bersama suami tersayang.

“Orang kutuk dakwaan saya hina orang cuci pinggan. Saya cuma boleh cakap kalian tidak berada di tempat Ashira.

“Bad paling kurang kena cuci luka kaki dua kali sekali. Bukan jari kaki sahaja tau, dah potong sampai separuh tapak kaki. Mereka di luar tak tahu semua itu.”

Dalam pada itu, Ashira ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi memberitahu, dia berasa sangat terharu dengan sokongan dan bantuan daripada orang ramai termasuk Vida.

“DSV ada datang tengok kami sekali tempoh hari. Dia ada hulurkan bantuan wang. Rasa terharu orang ambil berat sedangkan kita tiada hubungan darah apa-apa pun.

“Saya faham maksud DSV. Dia nakkan yang terbaik untuk saya. Kami ada berbincang untuk pelan perniagaan untuk masa hadapan. Masih dalam proses perbincangan dan kalau dah ‘confirm’ nanti, saya akan beritahu.

“Abang Bad pun keadaan dia okey sekarang. Kena berjaga-jaga tapi dia pun dah mula bekerja di sebuah bengkel kawannya. Terima kasih atas doa semua,” katanya.

Terdahulu, Vida dikecam netizen apabila dia didakwa menghina dan memandang rendah pekerjaan dilakukan Ashira yang mengambil upah mencuci pinggan di sebuah kedai. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI