KUALA TERENGGANU – Status sama ada umat Islam negara ini dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini masih belum dapat dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, perbincangan lanjut dengan kerajaan Arab Saudi berhubung isu tersebut dijangka berlangsung selewat-lewatnya bulan depan.
“Sepatutnya pertemuan itu sudah berlangsung sebelum ini tetapi terpaksa ditangguhkan berikutan penularan varian Omicron dan pertukaran Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi.
“Begitupun, berdasarkan perbincangan awal pada bulan lalu, ada berita gembira untuk 30,000 jemaah haji Malaysia,” katanya selepas menghadiri pada Konvensyen Pendidikan Islam Terengganu di sini hari ini.
Idris berkata, beliau benar-benar berharap peluang jemaah Malaysia untuk menunaikan haji pada tahun ini juga tidak tertutup buat kali ketiga berturut-turut berikutan penularan varian baharu Covid-19 pada masa ini.
Begitupun, beliau optimis kerajaan Arab Saudi masih belum membuat keputusan drastik menutup pintu masuk ke tanah suci bagi ibadah haji dan umrah.
“Setakat ini, tiada keputusan akhir lagi berhubung mesyuarat (ibadah haji) dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya. – K! ONLINE.