PETALING JAYA – Pelakon Scha Elinnea mengakui takut tidur seorang diri setiap kali diserang penyakit keresahan melampau (anxiety).
Menurut pelakon drama Sitiktok itu, perasaan gelisah dan murung itu merupakan punca utama dia sukar tidur dan memerlukan teman untuk mengatasi rasa takut yang dialaminya.
“Saya memang tak boleh tinggal seorang diri di rumah kerana akan muncul perasaan takut dan gemuruh.
“Jadi ada orang yang akan datang menemani saya antaranya kawan baik dan pengurus. Sekurang-kurangnya mereka boleh pantau saya setiap kali diserang anxiety,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar program Master In The House di sini kelmarin.
Pelakon berusia 24 tahun itu memberitahu, dia mengalami kegelisahan dan kemurungan sekiranya berada dalam keadaan tertekan dengan perkara yang berlaku di sekelilingnya.
Lebih teruk, Scha atau nama sebenarnya, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen pernah dimasukkan ke hospital selama dua hari semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 tahun lalu disebabkan masalah kesihatan tersebut.
“Setiap kali melalui tempoh sukar itu, memang rasa bingung sekejap, tetapi Alhamdulillah ramai yang memberi sokongan. Biasanya penyakit ini akan muncul apabila ada tekanan seperti membaca komen netizen.
Jadi, itu yang saya elakkan ketika ini.
“Disebabkan anxiety, saya mengalami insomnia yang teruk,” ujarnya.
Pelakon yang mula dikenali menerusi drama Perempuan Tanpa Dosa itu menolak dakwaan dia tidak boleh tidur seorang diri kerana takut dengan perkara mistik.
“Saya perlu berjumpa doktor sebulan sekali dan diberi lima jenis ubat bagi membantu mengawal penyakit ini,” katanya lagi.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, Scha Elinnea mendedahkan dia menghidap skizofrenia iaitu masalah kesihatan berkaitan mental sejak di bangku sekolah dan kini bergantung dengan ubat-ubatan.