LONDON – Arsenal mendapat tonik terbaik menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Liverpool awal pagi esok selepas pengurus pasukan, Mikel Arteta menamatkan arahan kuarantin semalam.
Sebagai rekod, Arteta telah disahkan positif Covid-19 pada minggu lalu dan terlepas untuk membantu skuad The Gunners pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City yang menyaksikan kekalahan tipis 1-2 di Emirates.
Sebelum ini, pemangku ketua jurulatih, Albert Stuivenberg mengakui bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya diarahkan untuk kembali mengemudi pasukan ketika bertemu The Reds sekiranya Arteta masih menjalani proses kuarantin.
“Saya harap Arteta dapat kembali secepat mungkin membantu pasukan pada pertemuan menentang Liverpool nanti. Namun, dia perlu disahkan negatif Covid-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan bersama pasukan menjalani latihan,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol utama Arsenal, Aaron Ramsdale berharap rakan-rakan dapat melupakan segera kekecewaan selepas tewas kepada City dengan memastikan pasukan dapat mara ke pentas final pada saingan EFL musim ini.
“Saya harap pasukan kekal positif meskipun melalui kekecewaan selepas tewas kepada City sebelum ini yang mana ia tidak sepatutnya berlaku jika pengadil membuat keputusan yang lebih adil. Kini, tumpuan sepenuhnya adalah aksi bertemu Liverpool dan kita perlu berikan yang terbaik,” katanya.
Arsenal yang berjaya meraih dua kemenangan Piala Liga ketika musim 1986/87 dan 1992/93 telah menewaskan Sunderland 5-1 pada aksi suku akhir EFL bulan lalu kini memburu slot ke pentas final. – AGENSI