PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memastikan setiap pihak menggalas tugas sebaik-baiknya bagi melancarkan urusan pemberian bantuan kerajaan kepada mangsa banjir.
Menurut beliau, perkara tersebut merupakan antara isu yang ditekankan pada mesyuarat Kabinet pertama tahun ini di Perdana Putra, di sini hari ini.
Antara isu lain yang turut dibincangkan, menurut beliau, adalah mengenai pengurusan banjir dan pasca banjir serta penangguhan umrah bagi jemaah Malaysia ekoran penularan varian Omicron di Mekah.
“Berikutan bencana banjir negara, saya akan pastikan setiap pihak menggalas tugas sebaiknya dalam melancarkan urusan pemberian bantuan-bantuan kerajaan. Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan.
“Saya turut mengingatkan anggota Kabinet bahawa semua orang mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan bencana yang melanda negara,” katanya menerusi satu entri di Facebook hari ini.
Ismail Sabri berkata, beliau yakin dan percaya bahawa dengan tumpuan dan dedikasi dari semua pihak, cabaran itu dapat dilalui dengan tenang sebagai sebuah Keluarga Malaysia. – K! ONLINE