fbpx

Sindiket kaut RM200 urus borang Bantuan Selangor Bangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. Kesusahan mangsa banjir telah diambil kesempatan ejen sindiket mengaut untung RM200 bagi menguruskan borang permohonan BSB. FOTO:ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengesan terdapat ejen sindiket tertentu mengenakan bayaran sehingga RM200 bagi pengurusan setiap borang permohonan Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

Pegawai Khas Perhubungan Masyarakat kepada Menteri Besar Selangor, Dr. Gunaraj George berkata, perkara itu dikesan aktif dilakukan sekitar daerah Klang dengan menyasarkan warga emas dan ibu tunggal.

Katanya, ini sangat mendukacitakan kerana seolah-olah menangguk di air yang keruh ketika rakyat dalam kesempitan selepas berdepan musibah banjir.

“Kerajaan negeri telah mengumumkan bantuan wang tunai RM1,000 bagi pakej BSB kepada semua ketua isi rumah yang terkesan akibat musibah banjir ini.

“Setiap Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor telah berkerja keras membantu masyarakat yang terjejas menguruskan permohonan bantuan bencana banjir secara percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, satu laporan polis telah dibuat berkaitannya bagi mencegah sindiket tersebut mengambil kesempatan terhadap rakyat marhaen.

Justeru, Gunaraj menasihati semua warga Selangor berhati-hati dengan tipu helah sesetengah pihak yang kononnya ingin membantu namun mempunyai tipu muslihat disebaliknya.

“Mereka yang terkesan perlu berhubung terus dengan pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pejabat Tanah dan Daerah masing-masing bagi mendapatkan sebarang bantuan dan sokongan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kerajaan negeri akan melakukan penyerahan bantuan RM1,000 kepada lebih 9,000 keluarga banjir menerusi inisiatif Selangor Bangkit seawalnya pada 29 Disember lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan wang itu dibahagikan mengikut tiga kategori iaitu mangsa yang ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) awam dibawah kendalian kerajaan negeri serta swasta dan persendirian.

Bagi kategori ketiga, melibatkan mereka yang terkesan akibat banjir yang tidak berpindah.

“Kita menjangkakan kesemua penyerahan bantuan RM1,000 menerusi Selangor Bangkit akan dapat diselesaikan pada 31 Januari depan,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI