MUSIBAH banjir yang melanda negara baru-baru ini sememangnya memberi kesan kepada semua orang. Ramai yang tidak menyangka bencana kali ini begitu hebat impaknya berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Malah sehingga hari ini, masih terdapat peningkatan mangsa-mangsa banjir terutama di Johor. Pelbagai sudut dikaji bagi mengenal pasti punca utama banjir yang begitu dahsyat sekali.
Ia bagaikan mimpi buruk yang akan tersemat selamanya dalam memori semua pihak. Alam sekitar seperti cuba memberi amaran kepada kita semua supaya jangan alpa dan sibuk mengejar kemajuan sahaja.
Pembalakan tidak terkawal dan pembangunan tidak terancang antara punca kemarahan alam sekitar terhadap manusia.
Pakar Alam Sekitar, Prof. Madya Dr. Zelina Zaiton Ibrahim berkata, semua manusia perlu memainkan peranan dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, antara faktor utama berlakunya bencana alam adalah disebabkan perubahan landskap alam sekitar itu.
“Kita perlu faham fakta-fakta dan unsur-unsur yang boleh membahayakan kita, kesan daripada perubahan landskap alam sekitar.
“Impaknya amat besar, malah nyawa juga akan menjadi taruhan daripada implikasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, perkara sebegini tidak boleh dipandang enteng, perancangan teliti perlu dilakukan agar musibah banjir yang berlaku sebelum ini tidak akan terjadi lagi.
“Selari dengan pengedaran zaman, teknologi yang dimiliki sekarang juga lebih terkini dan canggih bagi mengawal alam sekitar. Justeru, pembangunan juga perlu dirancang rapi agar kehijauan alam sekitar itu dapat dikekalkan,” ujarnya.
Justeru Zelina mengajak semua rakyat Malaysia untuk mencintai alam sekitar demi manfaat semua orang.
Sementara itu, Pakar Alam Sekitar, Prof. Dr. Mohd. Talib Latif berkata, penjagaan ekosistem yang baik di negara ini mampu mengurangkan kesan-kesan bencana alam yang dahsyat.
Menurutnya, kegagalan menjaga ekosistem yang baik dapat dilihat ketika bencana banjir berlaku apabila ia turut bersama sampah-sarap.
“Jika kita boleh lihat setelah air surut, banyak sampah-sarap bertimbun di kawasan-kawasan yang terjejas banjir.
“Perkara ini amat membimbangkan, alam sekitar seolah-seolah memuntahkan balik sampah yang dibuang manusia tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Katanya, isu pembuangan sampah merata-rata nampak kecil, tetapi impaknya amat besar kepada ekosistem.
“Kita perlu ubah sikap yang sesuka hati membuang sampah di dalam longkang, parit atau sungai yang mana ia akan menyebabkan saliran tersumbat.
“Nampak memang perkara remeh, tetapi kalau dah dibuang sampah beramai-ramai ke dalam longkang, pastinya akan menyebabkan aliran air longkang itu tersumbat,” jelasnya.
Katanya, penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama, bencana alam memang tidak boleh dielakkan, tetapi dapat dikurangkan risiko serta kesannya.
Sehubungan itu, tegasnya, beliau menyeru setiap rakyat Malaysia untuk menanamkan sifat mencintai alam sekitar di lubuk hati bagi kehidupan yang lebih harmoni.