fbpx

Skuad berbasikal kebangsaan bukan pelengkap penyertaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Kami bertanding untuk menang, bukan melengkapkan penyertaan sahaja pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.”

Demikian pandangan tegas Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Mazlan Md. Jail mengenai penyertaan pasukannya pada temasya yang akan berlangsung dari 21 November hingga 2 Disember tahun depan itu.

Ia juga sebab utama PKBM mahu menyenaraikan 75 peratus pelumba-pelumba senior dalam skuad berbasikal negara untuk merampas semula pingat emas apabila sekadar meraih satu gangsa sahaja pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima pendapat kami yang mahu menghantar majoriti atlet senior berbanding remaja pada Sukan SEA 2021. Dulu kita fikir sekadar sertai sahaja tetapi kali ini kita mahu bertanding untuk menang.

“Kita mahu kejohanan yang disertai tidak sia-sia. Kita akan tetap pilih atlet remaja terbaik untuk membentuk gandingan bersama pelumba senior yang penuh dengan pengalaman supaya mereka boleh menang.

“Sasaran akan ditetapkan berdasarkan nama-nama pelumba yang telah dipilih,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat kriteria pemilihan Sukan SEA bersama MOM di Wisma MOM, Jalan Hang Jebat hari ini.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad berbasikal negara gagal meraih pingat emas adalah pada Sukan SEA sewaktu edisi 2013 di Naypyidaw, Myanmar sebelum berulang di Manila tahun lalu.

Sewaktu edisi tahun lalu, kontinjen berbasikal negara sekadar membawa pulang satu pingat gangsa melalui Sheikh Muhammad Taslim Shaikh Mohd. Raziff dalam kategori BMX Freestyle Flatland. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI