fbpx

Don’t Look Up, satira, realiti untuk orang berkuasa yang bobrok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM terbaharu Netflix, Don't Look Up yang menggandingkan ramai nama besar seperti Leonardo Dicaprio dan Jennifer Lawrence.

APA manusia akan lakukan sekiranya menerima berita bumi akan dihentam komet besar yang berkemungkinan menyebabkan kehancuran dan kepupusan? Kemungkinan perkara ngeri itu berlaku, 100 peratus.

Itu cuba diberitahu ahli astronomi, Kate Dibiasky dan Dr. Randall Mindy kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), dalam filem terbaharu arahan Adam McKay, Don’t Look Up yang sekarang, bukan main hangat menjadi perbualan ramai.

Ramai dalam kalangan peminat filem kurang berkenan dengan satira yang dicernakan sutradara Adam kali ini. Alasannya, satira atau elemen sindiran yang dibikinnya terlalu bersifat melebih-lebih atau mungkin, kurang ‘berseni’.

Satira jujur pengarah

Bagaimanapun, secara peribadi, penulis berpendapat, Don’t Look Up merupakan sebuah filem komedi satira yang datang atau diluncurkan tepat pada waktunya.

Hadir ketika satu dunia sedang berperang dengan virus Covid-19 yang tidak sudah-sudah. Tidak kurang juga, Malaysia yang diuji berkali ganda apabila bencana banjir melanda.

Kalau anda orang yang punya kuasa mentadbir, namun hanya pentingkan diri sendiri dan tidak cakna tentang keseriusan isu perubahan iklim, tonton Don’t Look Up dan muhasabah diri sebelum perkara yang tidak sepatutnya berlaku kepada dunia.

PELAKON hebat, Meryl Streep melakonkan watak Presiden AS yang korup dan pentingkan diri sendiri.

Dibintangi ramai figura hebat, boleh jadi satu kelebihan kepada naskhah dan boleh juga ‘kecacatan’. Untuk segelintir penonton, mungkin perihal berkenaan tidak menjadi ukuran atau lebih memilih untuk melihatnya dari sudut subjektif.

Dari segi terjemahan karakter, semua pelakon menjalankan peranan yang cukup bagus dalam Don’t Look Up. Jennifer, Leonardo dan Meryl Streep, masing-masing membuktikan mengapa mereka sememangnya layak duduk cukup lazim dengan trofi Oscars.

Terjemahan karakter padu

Watak dijayakan Jennifer iaitu Kate Dibiasky memberi cerminan realiti bahawa seseorang itu mungkin berpenampilan problematik, namun dia sebenarnya yang paling banyak ilmu pengetahuan di dada. Bukan mereka yang ‘protokol’, pakai baju berharga ribuan di pejabat.

Pemilihan Leonardo sebagai Dr. Randall sangat bertepatan. Ada satu babak dia meluahkan amarahnya ketika sedang bersiaran langsung. Pada hemat penulis, apa yang dijayakannya menerusi adegan berkenaan adalah keadaan pada saat kerajaan tidak peduli tentang keperluan dan kebajikan rakyat apabila sesuatu krisis melanda.

Kadang-kadang, sindir secara halus pun tidak guna dan lebih baik buat secara terang-terangan. Itulah yang dilakukan Adam selaku pengarah. Watak dijayakan Meryl iaitu Janie Orlean memberi sindiran tepat ketika pemerintahan Donald Trump. Sangat menyakitkan hati.

DON’T Look Up dibarisi bintang-bintang A-list ternama dunia dan itu antara daya penarik naskhah Netflix ini.

Apa yang lebih menyakitkan hati adalah watak Jonah Hill iaitu Jason Orlean yang berperanan sebagai setiausaha politik kepada Presiden AS. Dengan karakter acuh tak acuh dan beg Birkin yang sering dikendongnya, memang rasa nak hempuk sahaja Jason.

Hempuk dengan beg berjenama kesayangannya itu agar otaknya berfungsi dan membuat kerja dengan lebih telus dan bukan hanya menggunakan status dirinya anak kepada Presiden AS. Sekali lagi, realiti situasi yang sangat tidak asing berlaku di mana-mana dunia sekarang. Ada ‘cable’ walaupun dungu, dapat kerja dan profesion penting.

Realiti dunia wartawan

Don’t Look Up juga mencerminkan realiti dunia media atau kewartawanan zaman sekarang yang hidup ‘subur’ atas kuasa ‘Likes’ dan ‘Shares’. Pentingnya media sebagai wacana suara rakyat atau orang ramai dalam memberitakan apa yang sepatutnya diberitakan.

Dalam Don’t Look Up, dinyatakan betapa dunia kewartawanan sudah hilang integriti. Media sosial menjadi raja dan orang ramai mulai bergantung dengan berita yang disampaikan daripada medium berkenaan.

Orang lebih suka dengan cerita dalam kelambu berbanding perihal-perihal yang wajar diberitakan. Pernah dengar? Tepuk dada, tanyalah selera.

ANTARA babak dalam Don’t Look Up yang kaya dengan sindiran tentang realiti dunia sekarang yang penuh dengan kepalsuan dan kebobrokan.

Secara keseluruhan, Don’t Look Up merupakan filem yang kaya dengan satira terperinci, ‘pace’ laju dan humor yang dekat dengan masyarakat dunia. Kalau kalian tonton, tidak perlu lihat jauh, tengok sahaja sudut kiri kanan depan dan belakang, semuanya sedang berlaku di depan mata kita.

Nak bocorkan sedikit spoiler. Beg Birkin Jonah antara ‘mangsa’ terselamat sesudah dunia diratah apokalips. Selamat menonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI