KEBERADAAN lelaki itu dalam apa jua naskhah, pasti meninggalkan impak yang luar biasa.
Lihat sahaja deretan naskhah yang pernah menggunakan pesonanya sebelum ini seperti filem Train To Busan dan naskhah bersiri Goblin, pencapaian yang diraih bukan biasa-biasa.
Tahun lalu, susuk lelaki kacak bernama Gong Yoo itu sekali lagi meninggalkan impak hebat dalam industri lakonan Korea Selatan selepas kemunculannya dalam siri fenomena Squid Game menjadi bualan hangat ramai.
Jika dalam Squid Game hanya sebagai penampilan istimewa, kali ini Gong Yoo melakar sejarah dalam profil kariernya apabila muncul dengan siri Netflix terbaharu, The Silent Sea.
Mula ditayangkan sejak 24 Disember lalu, naskhah tersebut merupakan siri adaptasi daripada filem pendek terbitan 2014, The Sea of Tranquility tulisan dan arahan Choi Hang-yong.
The Silent Sea mengangkat kisah sepasukan penyiasat yang dihantar ke bulan untuk menjalankan misi mendapatkan sampel misteri dari sebuah stesen penyelidikan yang ditinggalkan.
Gong Yoo memikul peranan selaku seorang askar untuk agensi angkasa bernama Yoon-jae, dipadankan dengan aktres Bae Doona sebagai Song Ji-ahn, seorang pakar astrobiologis.
Sejak projek pembikinan naskhah berkenaan mula diuar-uarkan kepada peminat, ramai yang teruja kerana jalan cerita yang berkisar tentang angkasa lepas tersebut mengguna pakai khidmat lakonan aktor hebat seperti Gong Yoo dan menjadi antara K-drama paling mahal dalam sejarah pembikinan Netflix.
Kritik
Ada pepatah yang berbunyi, indah khabar daripada rupa. Ungkapan sedemikian mungkin sesuai menggambarkan situasi yang sedang dihadapi pasukan The Silent Sea kini.
Biarpun dicanang-canang sebagai antara naskhah terhebat (sudah tentu kerana satu faktornya adalah Gong Yoo), namun sambutan yang diterima siri berkenaan agak menyimpang daripada jangkaan.
The Silent Sea menerima kritikan hebat daripada media asing yang melabelkan siri tersebut sebagai naskhah K-drama paling teruk bagi tahun ini.
Ada sesetengahnya menyuarakan kekecewaaan terhadap hasil akhir siri tersebut kerana tema dan perkembangan plot cerita kurang memuaskan, tidak kurang juga yang menyifatkan, karya berkenaan begitu membosankan.
Hasilnya, saham syarikat Wysiwyg Studios dan Dexter yang terkait dengan siri berkenaan dilaporkan mengalami penurunan beberapa hari sebelum berakhirnya tahun 2021.
Ironi, The Silent Sea berada di kedudukan ketujuh untuk tayangan global ketika hari pertama tayangannya.
Ketika ditemu bual secara maya bersama Sports Chosun pada 30 Disember lalu, Gong Yoo sempat menjawab perihal kritikan yang diterima tentang naskhah berkenaan.
“Saya menonton dengan perasaan puas hati melihat hasil akhirnya. Saya tak ada keinginan spesifik untuk terlibat dalam genre sains fiksyen tetapi saya sangat teringin berlakon dalam genre yang spesifik.
“Kemudian saya dapat tawaran The Silent Sea dan genrenya adalah sains fiksyen. Saya sangat puas hati dengan hasil drama ini,” ujarnya.
Sambung Gong Yoo, sebetulnya dia sudah bersedia dengan apa jua sambutan yang diberikan penonton, namun dirinya percaya sudah memberikan yang terbaik.
“Sudah tentu saya ada kekurangan dalam sesetengah hal dan saya sedar tentang perspektif negatif yang muncul.
“Tapi saya rasa kami semua sudah melakukan yang terbaik. Bukan bermaksud kami hebat, tetapi saya rasa kami membuka pintu untuk pembangunan (naskhah) yang berpotensi,” katanya yang menyifatkan The Silent Sea sebagai langkah permulaan terbaik untuk naskhah sains fiksyen keluaran Korea Selatan.
Tak elak genre klise
Lelaki berusia 43 tahun berwajah paras kacak dan maskulin itu sememangnya menjadi pujaan peminat, terutamanya kaum wanita.
Apatah lagi dia sebelum ini sangat sinonim dengan deretan watak dan naskhah cinta popular, termasuklah, Coffee Prince, Finding Mr. Destiny dan Big.
Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini, graf lakonan Gong Yoo dilihat berubah apabila mencuba pelbagai genre, termasuk The Silent Sea.
Jawab pemilik nama lengkap Gong Ji-cheol itu, dia langsung tidak pernah merancang atau berniat untuk mengelak daripada terlibat dengan naskhah romantik.
Namun jelas aktor kelahiran Busan itu, semuanya terjadi kerana dia lebih mementingkan projek yang membolehkan satu pasukan bekerjasama dengan baik.
“Saya tak tahu kalau saya seorang yang tamak dengan watak sebegini, tapi sebenarnya saya mahu berkomunikasi dengan penonton. Sebab itu saya berlakon berdasarkan emosi dan naluri.
“Saya seorang aktor. Jadi saya menyertai sesebuah projek untuk berkongsi mesej bersama audiens,” tuturnya.