PETALING JAYA – Empat buah kedai hangus dijilat api dalam satu kejadian di Taman Sri Manja, Jalan PJS 1/26 Taman Petaling Utama, di sini, semalam.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.39 malam sebelum bergegas ke lokasi dan tiba sembilan minit kemudian.
“Seramai 40 pegawai dan anggota bersama tujuh jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penchala, BBP Seksyen 7, BBP Subang Jaya serta BBP Puchong, telah dikejarkan ke lokasi bagi membantu melakukan kerja-kerja pemadaman dan menyelamat.
“Setibanya di lokasi, anggota bertugas mendapati kebakaran melibatkan empat premis iaitu dua kedai alat ganti kereta serta dua kedai motosikal dan aksesori motosikal jenis dua tingkat dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, tiada mangsa yang cedera pada insiden tersebut dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 10.11 malam. – K! ONLINE