fbpx

Maik benarkan semula majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) membenarkan majlis-majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum umum dan khas di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim atau surau di seluruh Kelantan bermula hari ini.

Yang Dipertua Maik, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu diberikan mengikut kapasiti sebenar masjid negeri, bandar, jajahan, mukim dan surau berdasarkan penjarakan fizikal 1.6 meter.

Menurutnya, selain itu, pelaksanaan solat Jumaat dan fardu lima waktu turut dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan kedudukan antara jemaah juga berdasarkan penjarakan fizikal 1.6 meter.

“Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat fardhu lima waktu yang lain dikekalkan seperti yang telah dikeluarkan sebelum ini.

“Kebenaran aktiviti di masjid atau surau telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri seperti peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutamanya umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

Sebelum ini, semua aktiviti seperti majlis zikir, kelas al-Quran, kuliah umum dan khas tidak dibenarkan meskipun kebenaran untuk menunaikan solat dibenarkan mengikut kapasiti semua masjid atau surau di seluruh Kelantan pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, kelas-kelas pengajian secara dalam talian adalah digalakkan ketika itu agar aktiviti mengimarahkan masjid dapat diteruskan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI