KUALA LUMPUR – Sindiket Macau Scam kini menggunakan taktik baharu dengan menggunakan wajah Pegawai Polis ketika membuat panggilan video bagi memperdaya mangsa.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis semalam oleh seorang wanita yang juga suri rumah berusia 40 tahun.
“Mangsa mendakwa telah menerima panggilan video oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Pegawai Insurans sebelum disambungkan kepada seorang Pegawai Polis.
“Mangsa dimaklumkan terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah. Pegawai Polis tersebut telah membuat panggilan video dengan berpakaian uniform polis.
“Sindiket berkenaan telah menggunakan aplikasi yang menampakkan pergerakan mulut seperti individu sebenar sehingga mengelirukan dan mengakibatkan kerugian kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kes tersebut telah disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu.
“Sindiket ini mengelirukan orang ramai dengan membuat panggilan video menggunakan aplikasi tersebut yang menampakkan kesahihan pemanggil sedangkan ia telah diubah suai dengan menampakkan pergerakkan mulut semata-mata dan gambar wajah yang telah disunting.
“PDRM memandang serius dengan kes-kes melibatkan panggilan palsu yang menggunakan gambar profil Pegawai Polis bagi mengaburi orang ramai. PDRM turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan yang diterima dengan membuat semakan terlebih dahulu agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya. – K! ONLINE