fbpx

Pengguna lega, mahu ayam RM7 sekilo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Rata-rata pengguna meluahkan kelegaan berhubung lanjutan penetapan harga menerusi Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sehingga 4 Februari ini yang mengawal harga 12 bara­ngan makanan keperluan asas.

Tinjauan Kosmo! mendapati, lanjutan penetapan harga menerusi SHMKM mampu me­ngurangkan bebanan kewangan isi rumah biarpun hanya dalam tempoh sementara.

Seorang pengguna, Siti Aisiah Mahmud, 50, berkata, penurunan harga barangan makanan seperti ayam, telur, kacang panjang dan sawi sememangnya amat dinanti-nantikan orang ramai terutama golongan B40.

“Pelaksanaan SHMKM secara tidak langsung membantu menangani isu berlaku kenaikan harga yang mendadak.

“Bukan semua rakyat mampu hadapi trend kenaikan harga barangan ini. Golongan B40 yang terkesan teruk terutama ketika pandemik Covid-19.

“Pelaksanaan SHMKM ini sekurang-kurangnya memberi peluang untuk kami berjimat cermat dalam urusan pembelian barangan makanan keperluan. Le­bih-lebih lagi mempunyai bilangan isi rumah yang ramai,” katanya yang berharap agar SHMKM dapat dilanjutkan lagi.

Kosmo! semalam melaporkan, golongan peniaga menggesa kerajaan agar mengkaji semula keputusan melanjutkan SHMKM terhadap 12 jenis barangan sehingga 4 Februari depan.

Malah, ada penjual mendakwa hanya memperoleh untung sebanyak 60 sen untuk setiap seki­logram ayam setelah membeli ayam pada harga RM8.50 sekilogram daripada pemborong.

Di Bangi, seorang pembeli, Aisyah Mansor, 51, berkata, walaupun ada penurunan harga dan terkawal, namun tetap memberi kesan jika dibandingkan dengan harga sebelum ini.

“Saya berpendapat harga ayam perlu diturunkan kepada RM7 sekilogram.

“Walaupun kerajaan sudah menetapkan harga kawalan terhadap ayam, namun turun sedikit sahaja, harga tetap tinggi tidak banyak beza untuk pembeli macam saya.

“Sebelum ini harga ayam RM7 sekilogram boleh beli seekor, tetapi bila harga RM9.10, tetap perlu berjimat untuk membeli barang basah lain yang kos telah turut meningkat,” katanya.

Di Alor Setar, seorang pe­ngunjung Pasar Besar Alor Setar, Siti Roziah Ismail, 50, berkata, pelaksanaan SHMKM langkah yang baik bagi membendung kenaikan harga lebih tinggi.

“Harga barangan bawah ­SHMKM itu masih tinggi kerana sebelum ini kami boleh beli ayam bawah RM7 sahaja,” katanya.

Di Putrajaya, seorang pelang­gan Pasar Presint 8, Muhammad Fahim Mat Salleh berkata, SHMKM seharusnya ditamatkan jika bekalan 12 barangan yang disenaraikan mampu dijual dengan harga yang lebih rendah.

Di Kuala Terengganu, seorang pengguna di Pasar Bukit Besar, Nur Farihah Shafie, 38, berkata, dia berterima kasih dengan inisiatif kerajaan mengawal harga, namun RM9.10 sekilogram ayam dilihat masih membebankan terutama buat mereka yang berkeluarga besar.

Guru sebuah sekolah itu berkata, isu harga barang mentah merupakan sesuatu yang telah lama berlanjutan dan wajar ditangani secara serius.

“Pelaksanaan skim kawalan harga ini cuma penyelesaian jangka pendek,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI