NEW YORK – Bekas pemain No. 1 dunia, Naomi Osaka mengesahkan tiket ke pusingan ketiga selepas mudah menewaskan bintang tenis dari Itali, Camila Giorgi dengan kemenangan straight set 6-1, 6-2 pada saingan Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.
Pada aksi di Stadium Arthur Ashe itu, Osaka yang kini diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan hanya memerlukan 70 minit untuk menewaskan Giorgi bagi menempah tiket pertemuan menentang Marta Kostyuk di pusingan ketiga.
Kata Osaka, faktor ketenangan di atas gelanggang menjadi punca utama dia berjaya mengekalkan momentum dengan tidak memberi sebarang ruang dan peluang bagi Giorgi menguasai perlawanan.
“Bagi saya, cara paling mudah untuk mencapai kemenangan adalah fokus dan tenang tanpa menghiraukan sebarang masalah di luar gelanggang. Justeru, saya cukup bermotivasi untuk melangkah jauh pada kejohanan ini.
“Selain itu, pengalaman bertemu dengan Giorgi sebelum ini memudahkan saya untuk membaca setiap gerakan dan taktikal perlawanan yang cuba dia aturkan sehingga dia tidak boleh membalas setiap pukulan yang saya lakukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain pilihan keenam, Petra Kvitova berjaya melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Katerina Kozlova dengan kemenangan straight set 7-6, 6-3.
“Saya akui tidak berada pada tahap prestasi sebenar ketika beraksi pada set pertama dengan Kozlova yang banyak memberikan tekanan buat saya. Namun, saya gembira apabila perlawanan ini tidak diheret ke set ketiga dan dapat ditamatkan secara straight- set kerana set penentuan mungkin menyebabkan saya keletihan dan hilang tumpuan terhadap perlawanan,” kata Kvitova – AGENSI