PADA usia 35 tahun dan semestinya ditemani rasa tanggungjawab yang terus membuak-buak menebarkan syiar Islam, selebriti yang juga aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi akhirnya bertemu jodohnya.
Heliza atau nama sebenarnya, Nur Heliza Helmi berkahwin dengan ahli perniagaan berstatus jutawan, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman pada majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Sabtu lalu.
Barangkali, ramai yang ‘terkejut beruk’ berita tentang pernikahan Heliza dengan lelaki berkenaan disebarkan kepada umum.
Hal ini kerana, hubungan istimewa mereka tidak langsung dihidu orang ramai apatah lagi dicanang sendiri oleh kedua-dua mereka lewat laman media sosial masing-masing.
Tiada drama percintaan, tiada majlis pertunangan, serba-serbi ringkas (walaupun si lelaki berstatus jutawan) dan semua dilanjutkan berpaksikan asas agama dan akhirnya, masa bersatulah dua jiwa dengan satu ikatan suci bernama perkahwinan.
Apa yang ditindak-tandukkan Heliza dan pasangan wajar diteladani orang Islam lain. Zaman sekarang, ramai orang beranggapan menayang kebahagiaan bersifat ‘pseudo’ dalam situasi bermewah-mewah, itulah kononnya kejayaan yang dikejar. Beli sebatang pen bernilai RM70,000 pun dibikin drama sinetron dalam gelanggang media sosial.
Tertarik dengan pendapat yang dilontarkan oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun tentang peribadi Heliza yang bakatnya dahulunya dihidu daripada program realiti, Akademi Fantasia.
Menurut Asma’, ramai yang ramai yang kagum dengan sosok wanita bernama Heliza Helmi disebabkan kecekalan hatinya berdepan pelbagai dugaan dan kecaman dalam hidup demi menegakkan syiar Islam.
“Heliza Helmi, dia macam kalis penat, kecaman dan sindiran, dia terus sahaja melangkah tanpa mengutip batu yang dilontarkan, walau masih bujang (sebelum ini), langkahnya panjang.
“Heliza sentiasa dilihat tenang, kuat dan semangat kerana dia ada seorang ibu yang sangat hebat, yang selalu mendukung dan mendoakannya.
“Kuasa dorongan ibu dan ayah adalah satu anugerah buat anak yang terpilih. Namun, jika kita tidak memilikinya, Allah sentiasa ada untuk kita, pasti ada sesuatu yang akan mendorong kita jua,” katanya.
Selain menjadikan orang tua sebagai tempat rujukan, semakin usia lanjut dewasa, semakin wanita berkenaan cakna apa yang patut dijadikan keutamaan dalam kehidupan bergelar seorang muslimah.
Ujar Asma lagi, ada banyak perkara menarik dalam diri figura berkenaan dan pernikahan yang baru sahaja dilangsungkan baru-baru ini.
“Pengantin tidak berinai atau sangat sedikit hingga tidak nampak inainya. Zaman sekarang, para pengantin wanita lain mula berinai hingga pergelangan tangan, dilukis dengan ukiran dan bunga. Dia memilih sesuatu yang minimalis, namun sangat manis.
“Solekan wajah pula sangat semula jadi hingga seperti tidak bersolek. Pakaian, majlis dan pembawakan juga sederhana walaupun pasangan seorang jutawan.
“Tiada babak romantik yang ditonjolkan, sifat malu itu telah mengindahkan semuanya,” katanya.