NEW YORK – Satu laporan menyatakan bahawa pelakon popular, Keanu Reeves mendermakan sebahagian besar pendapatannya daripada filem The Matrix kepada sebuah pertubuhan kanser, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Reeves, 57, dilaporkan dibayar wang pendahuluan AS$10 juta (RM41.81 juta) untuk filem sains fiksyen 1999 itu sebelum memperoleh lebih AS$35 (RM146.34 juta) apabila filem itu mencatat blockbuster pecah panggung.
Menurut laman berita Lad Bible, pelakon itu mendermakan 70 peratus daripada wang itu iaitu sebanyak AS$31.5 juta (RM131.7 juta) untuk penyelidikan leukemia.
Ia kerana adik perempuannya, Kim telah bertarung dengan penyakit barah itu selama lapan tahun.
Kim disahkan menghidap kanser darah pada 1991 dan menghabiskan masa satu dekad dengan menjalani rawatan sebelum dia akhirnya sembuh.
Bintang filem Speed itu juga secara rahsia menubuhkan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang dilaporkan bergiat aktif selama bertahun-tahun tanpa sebarang perhatian media.
“Saya mempunyai yayasan swasta yang telah beroperasi selama lima atau enam tahun dan ia membantu beberapa hospital kanak-kanak dan penyelidikan kanser.
“Saya tidak suka melampirkan nama saya untuk itu dan saya hanya membiarkan yayasan itu melakukan apa yang dilakukannya,” ujar Reeves pada 2009. – AGENSI