PETALING JAYA – Penduduk di beberapa negeri dinasihatkan untuk terus berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran amaran hujan lebat serta ribut petir yang dijangka berlaku sehingga lewat petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan, berkata, amaran hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan di Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, dan Sabah sehingga pukul 7 malam.
Katanya, bagi negeri Kedah, kawasan terlibat adalah Bandar Baharu, manakala Perak di Kerian, Larut, Matang, Selama dan Kuala Kangsar.
“Kawasan terlibat di Selangor adalah Gombak, Petaling dan Hulu Langat, manakala Johor di Mersing dan Kota Tinggi.
“Keadaan cuaca buruk ini melibatkan keseluruhan kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, amaran sama di keluarkan terhadap di Johor iaitu di Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru serta Sabah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat (Ranau).
Kata MetMalaysia, amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” ujarnya. – K! ONLINE