fbpx

Inisiatif Kedai Percuma Pak Nil buat mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZNIL NAWAWI

PETALING JAYA – Musibah banjir yang melanda negara baru-baru ini benar-benar menguji pelbagai pihak termasuklah golongan selebriti yang turut terkesan.

Bagi pengacara versatil tanah air, Datuk Aznil Nawawi atau Pak Nil sendiri, dia antara individu yang tidurnya tidak pernah nyenyak sejak kebelakangan ini memikirkan nasib mangsa terjejas.

Bermula dengan usahanya baru-baru ini menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Canggang, Banting, Selangor, tercetus pula idea mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil bermula 30 Disember lalu.

“Ideanya tercetus selepas usaha pemberian bantuan kepada mangsa banjir tempoh hari di situ.

“Saya sebelum ke sana sebenarnya turut dihubungi oleh salah seorang pengikut dalam Instagram berkongsi sisi ceritanya mengenai kemusnahan daerah itu akibat banjir.

“Malah ketika menjejaki kawasan itu, saya lihat ramai penduduk yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

Pengacara TV Lelaki Popular sejak 2003 hingga 2010 itu juga menyedari kawasan terbabit seakan terpinggir daripada pandangan ramai.

“Lalu, bermula dengan hanya makanan yang dimasak penduduk kampung secara rewang bermodalkan wang sumbangan yang saya kutip di kalangan pengikut media sosial saya.

“Ketika itu dalam sehari kami berjaya menyediakan hampir 1,000 pek bungkusan makanan kepada mangsa banjir. Malah selepas banjir surut, mulalah mereka bergerak pulang dari PPS ke rumah masing masing.

“Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan,” katanya.

Buat permulaan, pelantun lagu Apo itu sebelumnya menghubungi syarikat yang pernah bekerjasama dengannya seperti jenama Eskayvie dan Nakada.

“Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.

“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan dan kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.

Jelasnya, mangsa banjir boleh ke kedai itu untuk mengambil barang keperluan secara percuma mengikut keperluan mereka sahaja.

“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.

“Jadi saya boleh terus tambah barangan keperluan itu. Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @aznilnawawi atau menerusi akaun Maybank di 564735801178.

“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI