fbpx

India tutup aplikasi jual wanita Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wanita Islam menjadi sasaran kebencian melalui kewujudan aplikasi online di India. - Saudi Gazette

NEW DELHI – Polis di dua buah negeri di India membuka kertas siasatan selepas sebuah aplikasi berkongsi gambar lebih 100 wanita Islam dengan mengatakan bahawa mereka adalah untuk ‘dijual’, lapor akhbar Saudi Gazette semalam.

Suspek termasuk pembangun aplikasi berkenaan dan pemilik akaun Twitter yang berkongsi imej dan kandungan berkaitan wanita Islam.

Aplikasi bernama Bulli Bai itu diletakkan dalam platform web GitHub. Ia ditutup susulan siasatan tersebut.

Aplikasi itu adalah percubaan kedua dalam tempoh beberapa bulan untuk mengganggu wanita Islam di India dengan ‘melelong’ mereka secara online.

Pada Julai tahun lalu, sebuah aplikasi yang dinamakan Sulli Deals mencipta profil lebih 80 wanita Islam dengan tujuan menjual mereka.

Bagaimanapun, dalam kedua-dua kes itu, tiada jualan sebenar berlaku, manakala tujuan aplikasi itu adalah semata-mata untuk merendahkan dan mengaibkan wanita Islam dengan berkongsi imej peribadi mereka.

‘Sulli’ ialah istilah slanga dalam bahasa Hindi yang digunakan untuk menghina wanita Islam.

Wartawan tempatan, Ismat Ara yang nama dan gambarnya tertera pada aplikasi Bulli Bai memfailkan aduan polis pada hujung minggu lalu di Delhi. 

Aduan  terhadap individu tidak dikenali itu termasuk melakukan gangguan seksual dan menggalakkan permusuhan atas nama agama.

Hampir enam bulan kemudian, polis tidak membuat sebarang tangkapan dalam kes Sulli Deals.

Ismat memberitahu agensi berita Al Jazeera bahawa kekurangan kemajuan dalam siasatan kes  itu gagal meningkatkan keyakinan kepada polis.

“Memang mengecewakan apabila kami melihat penyebar kebencian itu sewenang-wenangnya terus menyasarkan wanita Islam, tanpa rasa takut akan sebarang sekatan,” tulisnya dalam aduan itu.

Menteri Maklumat dan Teknologi India, Ashwini Vaishnaw Sabtu lalu berkata bahawa GitHub telah menyekat pengguna yang memuat naik aplikasi itu dan polis sedang menyelaraskan dengan agensi siber untuk ‘tindakan lanjut’. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI