fbpx

Lubang besar punca Jalan Kinabalu menghala Cheras ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan lubang besar di laluan berkenaan boleh mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya. FOTO: IHSAN DBKL

KUALA LUMPUR – Kejadian tanah mendap dan lubang besar menyebabkan Jalan Kinabalu menghala Cheras berdekatan Rumah Persekutuan ditutup hari ini atas faktor keselamatan.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, langkah penutupan telah dijalankan oleh pihak JSPT kira-kira pukul 10.30 pagi dan semua kenderaan tidak dibenarkan melalui laluan berkenaan.

“Mendapan tanah telah berlaku menyebabkan jalan berlubang sekali gus boleh mendatangkan risiko kepada pengguna.

“Kerja-kerja pembaikan akan dijalankan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijangka mengambil tempoh masa dua atau tiga hari.

“Kita harap pengguna jalan raya tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif yang disediakan dan mereka yang datang dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan Selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke Selatan semula.

“Kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja Untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.

“Kenderaan dari arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn di lencongkan ke Jalan Kuching manakala kenderaan dari Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn dihalakan terus ke Jalan Parlimen,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI