PUTRAJAYA – Terjemahaan air kosong kepada ’empty water’ di laman Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) yang ditangkap layar serta tular di media sosial berpunca daripada pengguna yang telefonnya telah diaktifkan fungsi terjemahaan ‘auto teks Facebook’.
Menerusi satu kenyataan, KKM menjelaskan, sebaran tangkap layar itu tidak menggambarkan ‘posting’ asal poster tersebut iaitu dalam Bahasa Malaysia dan bukannya dalam Bahasa Inggeris.
“KKM mendapati paparan Facebook yang ditangkap layar dan disebar luas menerusi aplikasi WhatsApp semalam adalah berpunca daripada pengguna yang telefonnya telah diaktifkan fungsi terjemahan auto teks Facebook.
“Keadaan ini menyebabkan perkataan air kosong telah diterjemahkan secara automatik kepada perkataan ’empty water’ dalam telefon pengguna tersebut,” ujar kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, bagi mengelakkan kekeliruan mohon kerjasama untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada fungsi terjemahan automatik memandangkan ia tidak memberi penjelasan yang tepat.
“KKM berharap penjelasan ini dapat memperbetulkan salah tanggapan dan kekeliruan yang timbul berhubung isu terjemahan air kosong kepada ’empty water’ yang ditularkan di media sosial baru-baru ini,” katanya. -K! ONLINE