KUALA LUMPUR – Empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP 2 dan SSP 3 serta Rantau Panjang yang dihenti tugas sejak pagi tadi ekoran pencemaran bau masih belum beroperasi sehingga pukul 6.30 petang tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kesemua LRA berkenaan tidak dapat beroperasi kerana pencemaran masih dikesan di muka sauk loji berkenaan dan bacaanya adalah pada tahap tiga ton.
Katanya, menurut laporan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pencemaran berpunca dari premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melepaskan bau seakan bahan pelarut ke dalam sungai.
“Sungai Gong merupakan anak Sungai Sembah yang merupakan anak sungai utama kepada Sungai Selangor. Notis penutupan premis di kawasan perindustrian itu telah dilakukan pukul 2.30 petang tadi.
“Walaupun premis ini telah ditutup, tetapi pencemaran bau masih dikesan di dalam sungai terbabit. Ekoran itu, Air Selangor tidak dapat menghasilkan kira-kira 2,700 juta liter sehari air kepada pengguna di 1,292 kawasan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Elina, gangguan bekalan air tidak berjadual akan mengambil masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya kerana keempat-empat LRA telah dihenti tugas sejak 10 jam lalu.
“Air Selangor menyarankan pengguna supaya mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam kerana bantuan menerusi lori tangki akan diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” ujarnya.
Tambahnya, maklumat terkini berhubung gangguan bekalan ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa melalui laman Twitter, Instagram, Facebook, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com. – K! ONLINE