fbpx

Bukan mabuk, tetapi sakit jantung – netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar klip video yang dirakam seorang wanita dan klip video rakan mangsa yang mengesahkan arwah terkena serangan jantung semasa memandu.

PETALING JAYA – Tindakan seorang wanita yang menuduh pemandu lori mabuk sehingga melanggar beberapa buah kenderaan nyata mengundang kemarahan pengguna laman sosial.

Ia kerana pemandu lori yang dikenali sebagai Shukri mengalami sakit jantung semasa kejadian dan disahkan telah meninggal dunia semalam.

Perkara itu disahkan oleh salah seorang rakannya menerusi satu perkongsian klip video di laman aplikasi TikTok.

Menurut rakannya yang dikenali sebagai Siva, lelaki berkenaan berkerja dengan sebuah syarikat di Sungai Buloh dan mempunyai masalah jantung.

Jelas Siva, semasa kejadian rakannya itu terkena serangan jantung dan kemudian telah dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

“Sesiapa yang viral kata pak cik ini mabuk, dia bukan mabuk. Saya kenal pak cik ini nama dia Shukri bekerja jadi pemandu lori dengan syarikat di Sungai Buloh.

“Dia macam kawan lama saya kenal lebih 10 tahun, jadi sesiapa kata dia mabuk, dia tak mabuk dia sakit jantung dan telah meninggal dunia,” kata Siva.

Difahamkan kejadian itu berlaku berdekatan kilang arwah bekerja di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh tengah hari semalam.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mengecam tuduhan yang dibuat oleh seorang wanita yang menuduh pemandu lori itu mabuk sehingga melanggar beberapa buah kenderaan.

“Eh geram pula aku, mabuk dengan orang dalam kesakitan tak boleh nak bezakan ke? tahu nak viral je, sikit-sikit viral. Bukan nak tanya dulu kenapa,” soal Anis Rosdi di ruangan komen.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Haney Rusly.

“Mabuk dengan sakit jantung nampak lain ye cik kak, pak cik tu nak cakap pun tercungap, tengah tarik nafas panjang tu, Allahuakhbar innalillahiwainnailahiraji’un, semoga pakcik di tempatkan bersama orang beriman,”tulisnya.

Pada masa sama, pengguna laman sosial turut meminta wanita terbabit memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mangsa atas tuduhan yang tidak berasas itu.

“Harap perempuan yang rakam ni memohon maaf pada keluarga arwah dan mohon maaf secara live, al-Fatihah pada arwah,”ujarnya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI