fbpx

Ebby Yus sambut baik bantuan kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON dan pelawak Ebby Yus menyambut baik pengumuman Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

PETALING JAYA – Pelawak terkenal Ebby Yus terharu dan menyambut baik pengumuman Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada perutusan tahun baharu 2022, kelmarin.

Dalam pengumuman tersebut, kerajaan bersedia untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir membina semula kediaman mereka yang musnah dan tidak dapat diduduki dengan kos sehingga RM56,000 bagi setiap unit rumah baharu yang dibina.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, pengumuman terbabit sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.

“Memang satu tindakan yang baik dan bagus daripada Perdana Menteri jika kerajaan mahu menghulurkan bantuan. Saya pun tidaklah mengharapkan akan mendapat bantuan penuh, tapi sekurang-kurangnya jika diberi separuh daripada kos pembinaan itu sudah cukup bersyukur.

“Lagi-lagi untuk mangsa banjir yang sudah kehilangan rumah. Macam situasi saya, lagilah tanah dihakis dan separuh daripadanya sudah masuk ke dalam sungai. Jadi, kalau diikutkan agak memakan belanja besar kerana nak kena ukur dan tambak tanah itu semula,” katanya.

Menurut Ebby, bantuan yang diumumkan kerajaan itu sedikit sebanyak dapat membantu mangsa banjir terutama mereka yang kehilangan rumah untuk memulakan kehidupan semula.

Terdahulu, Ebby mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila rumah baharu yang dibinanya di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat sejak empat tahun lalu musnah sepenuhnya dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu.

Kediaman dua tingkat yang dibina Ebby di atas tanah dibeli secara kongsi bersama abangnya itu dibangunkan berperingkat mengikut modal yang dikumpul dari hasil kerjaya seninya.

Malah, rumah impian Ebby itu hanya tinggal 10 peratus saja lagi untuk siap sepenuhnya dan dia juga sudah merancang masuk tinggal di situ pada Januari ini.

Ebby berkata, kawasan tanah yang tidak terkena hakisan banjir itu kini hanya tinggal suku saja iaitu bilik air dan setor kerana berada di kawasan luar, manakala keseluruhan rumahnya ranap dibawa arus dalam kejadian banjir itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI