fbpx

Bapa pukul anak guna kabel telefon dijel 3 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Azlan (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal terhadap anak perempuannya minggu lalu.

KOTA BHARU – Perbuatan tidak berhati perut seorang bapa yang sanggup mendera anak perempuan berusia lapan tahun dengan kabel telefon hanya kerana telefonnya mengalami masalah teknikal minggu lalu terbalas apabila dia dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Wan Azlan Wan Ali, 44, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menganiaya anak perempuannya yang berusia lapan tahun dengan cara memukul kanak-kanak itu menggunakan sebatang kabel sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Kelong, Pasir Puteh kira-kira pukul 1 pagi pada 28 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalnaa memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh memandangkan mangsa merupakan anak kandungnya di samping dapat memberi mesej jelas kepada orang awam bahawa perbuatan menganiaya kanak-kanak merupakan perbuatan salah di sisi undang-undang.

Tertuduh dalam rayuannya memohon agar hukumannya diringankan selain menyatakan bahawa telah insaf dengan perbuatan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 29 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah memukul anak bongsunya menggunakan kabel telefon di seluruh badan disebabkan telefon bimbit miliknya mengalami masalah teknikal.

Mangsa bersama adik-beradiknya melarikan diri dari rumah ketika bapa mereka sedang tidur dan cuba untuk mencari kakak mereka yang belajar di sebuah kolej di Kota Bharu.

Melihat kecederaan adiknya, kakak mangsa tampil membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada pukul 5.20 pagi, Rabu lalu di rumahnya iaitu sehari selepas kejadian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI