fbpx

Arab Saudi dilitupi salji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RANTAU Tabuk dekat sempadan Jordan dilitupi salji pada 1 Januari 2022. - SPA

JEDDAH – Penduduk tempatan  berpusu-pusu melakukan perjalanan  untuk menikmati salji terbaharu yang turun di barat laut Arab Saudi, lapor  portal berita Arab News semalam.

Orang ramai di rantau Tabuk, dekat sempadan Jordan, terkejut apabila melihat padang pasir tandus diselimuti hamparan putih salji apabila mereka bangkit dari tidur pada 1 Januari lalu.

Banjaran Gunung Jabal Al-Lawz  di Tabuk kerap kali menyaksikan salji turun apabila suhu menjunam ketika musim sejuk. Musim sejuk dianggap musim paling indah di rantau berkenaan.

“Setiap tahun, kami menunggu salji turun supaya kami dapat menikmati hidangan kabsa yang dimasak di atas salji oleh ibu saudara kami. Ia sudah menjadi tradisi keluarga ini,” kata Faris Al-Harbi yang merupakan seorang jurutera dan membesar di Tabuk kepada Arab News. 

Arab Saudi sememangnya terkenal sebagai negara tandus tetapi suhu antara rantaunya berbeza-beza  berikutan kepelbagaian lanskap termasuk kawasan pergunungan, pulau, gurun, gua dan lembah.

Salji biasanya turun di kawasan pergunungan di utara Arab Saudi seperti Turaif, Tabuk, Arar, dan Rafha. Penduduk tempatan dan pelawat menuju ke rantau-rantau tersebut untuk bermain salji dan menikmati cuaca sejuk.

Selain Tabuk, bahagian barat daya negara itu  iaitu rantau Asir turut menyaksikan salji turun. Sementara itu, Pusat Meteorologi Kebangsaan mengeluarkan ramalan ribut petir dan angin kuat dijangka berlaku di  Asir, Jazan, Al-Madinah, Hail, dan Tabuk manakala lebih banyak salji diramal turun. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI