fbpx

5,000 penduduk resah perparitan industri cetus banjir kilat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosli dan Azmizam menunjukkan anak sungai yang akan melimpah sehingga banjir akibat perparitan itu.

KLANG – Lebih 5,000 penduduk Kampung Nelayan dan Kampung Perajurit, Telok Gong di sini, resah dilanda banjir kilat akibat sistem perparitan sebuah kawasan perindustrian baharu berdekatan kampung itu.

Perparitan industri dipercayai sejak tahun lalu itu mengalirkan air ke sebuah anak sungai hingga menyebabkan limpahan teruk dengan diburukkan ketika berlakunya air pasang dan hujan berterusan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Telok Gong, Rosli Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian banjir kilat berdekatan dua kampung itu petang kelmarin.

Katanya, pemantauan mendapati masalah itu berpunca sistem perparitan perindustrian yang dianggap tidak bersesuaian di kawasan tersebut.

“Anak sungai di kampung itu sememangnya tidak mampu menampung jumlah air yang banyak terutama ketika hujan dan air pasang.

“Justeru, perparitan industri itu perlu ditutup dan dialirkan terus ke laut bagi mengelak banjir kilat. Penduduk masih trauma dengan banjir teruk yang berlaku pada 17 Disember lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi itu di sini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dan Pengarah Perkhidmatan Persekitaran Majlis Perbandaran Klang (MPK), Zaireezal Ahmad Zainuddin.

Sementara itu, Azmizam berkata, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MPK mengkaji semula sistem perparitan industri tersebut secara menyeluruh.

“Bagi kawasan Telok Gong, hanya ada satu kunci air iaitu di Sungai Tengkorak dan ia tidak mampu menampung air yang banyak.

“Tindakan jangka masa panjang yang lebih konkrit perlu dilakukan termasuk membina kunci air sendiri oleh pihak perindustrian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zaireezal berkata, MPK sudah mengenalpasti empat lokasi perparitan industri berkenaan semalam.

“Kita dan JPS sudah menutup semua perparitan itu dengan menggunakan tanah sebagai langkah sementara.Perbincangan akan dilakukan dengan kilang-kilang perindustrian di kawasan itu bagi mencari jalan penyelesaian jangka masa panjang,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI