KOTA BHARU – Seorang ibu cekal menjaga anaknya yang menghidap sawan meskipun dia sendiri menderita penyakit buah pinggang kronik tahap empat sejak empat tahun lalu.
Siti Nuramziah Ramli, 24, menghidap penyakit buah pinggang sejak berusia tiga tahun dan keadaan kesihatannya semakin kritikal ketika mengandungkan, Mohammad Wafie Muazakki Mohammad Khairul Azhar yang kini berusia setahun tujuh bulan.
Menurutnya, dia pernah menjalani pembedahan membuang batu karang di dalam pundi kencing sebelum disahkan menghidap penyakit buah pinggang selepas itu.
Ujarnya, semasa kandungan berusia lima bulan, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini dan koma selama sebulan.
“Selepas tempoh itu, keadaan saya kembali stabil dan dijangka menjalani pembedahan bagi melahirkan anak kami.
“Namun, Mohammad Wafie Muazakki berjaya dilahirkan secara normal dengan berat 1.2 kilogram iaitu lebih awal dari tarikh pembedahan yang dijadualkan,” katanya kepada Kosmo! di rumahnya di Kampung Panji di sini semalam.
Menurut Siti Nuramziah, dugaan ditempuhnya dan suami, Mohammad Khairul Azhar Rosly, 21, semakin berat apabila bayi itu pula menghidap penyakit sawan ketika berusia dua bulan sehingga perkembangannya tidak seperti kanak-kanak lain.
Ujarnya, penyakit itu menyebabkan Mohammad Wafie Muazakki tidak boleh berjalan, bercakap dan kerap merengek.
“Dia hanya mampu terbaring dan sering demam selain mengalami kekejangan otot.
“Berat badannya hanya enam kilogram kerana bergantung kepada susu. Dia juga bergantung kepada lapan jenis ubat setiap hari,” katanya.
Menurutnya, mereka sekeluarga kini hanya mampu menumpang di rumah sewa keluarga mereka selepas suami terpaksa berhenti kerja sebagai Askar Wataniah sejak setahun lalu untuk menjaganya dan anak.
Katanya, suami kini hanya mengambil upah sebagai ejen dropship dan pendapatan bergantung kepada hasil jualan.
“Kami memerlukan perbelanjaan lebih RM1,000 sebulan bagi membeli lampin dan susu buat Mohammad Wafie Muazakki selain kos ulang-alik ke hospital setiap kali menjalani rawatan hemodialisis saya.
“Saya ada menerima bantuan pesakit kronik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250 sebulan dan sumbangan adik-beradik. Ia sedikit sebanyak membantu kami,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam Siti Noramziah Ramli 03018021767422 atau menghubunginya di talian 0111-787 8765.