fbpx

Lagu tragedi putus cinta Aidil Maula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIDIL MAULA

KENANGAN patah hati hampir tiga tahun lalu memberi inspirasi buat penyanyi baharu, Aidil Maula untuk merakam lagu debutnya bertajuk Pedih.

Memilih untuk menulis sendiri lirik Pedih, Aidil yang berasal dari Johor Bharu turut menyumbang idea dalam gubahan lagu sambil dibantu oleh rakan baiknya, Tengku Adry Putra.

Menyifatkan lagu Pedih sebagai satu karya yang peribadi buat dirinya, Aidil berasa lega kerana akhirnya dapat melancarkan single berkenaan selepas tiga tahun terperap dalam simpanan.

“Lagu ini memang sudah lama siap tetapi untuk individu yang tidak mempunyai kenalan dalam industri muzik, proses untuk bertemu pihak yang betul mengambil sedikit masa.

“Namun tidak mengapa kerana apa yang penting, Pedih sudah pun dilancarkan dan saya sudah cukup bersyukur,” ujarnya ketika ditemui pada satu sesi temu bual bersama media di Fittie Sense, Bangsar, baru-baru ini.

Melancarkan lagu pertama pada 24 Ogos lalu, jejaka berusia 26 tahun itu memberitahu, sengaja tarikh tersebut dipilih bagi memaknakan lagi detik kelahirannya ke dunia.

Aidil Maula sepatutnya berpeluang bergelar peserta Big Stage 2020, namun peluangnya terpadam akibat tidak cukup kriteria. – MOHD IQBAL ROSLI

Sasaran

Bercakap tentang impiannya sepanjang tempoh setahun bergelar penyanyi, Aidil menyimpan sasaran tersendiri bagi mengisi kalendar 2021.

Berazam untuk menyertai program realiti popular untuk ‘budak baru nak up’ (BBNU) iaitu Big Stage 2021, dia melihat pertandingan sebegitu platform terbaik untuk mengembangkan karier.

Jika mengikut perancangan, nama Aidil sudah termasuk dalam senarai uji bakat Big Stage tahun ini, namun dia kekurangan satu kriteria penting yang diperlukan.

“Saya memerlukan jumlah tontonan muzik video sekurang-kurangnya 500,000 tontonan jika mahu memasuki pusingan uji bakat.

“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku awal tahun ini, penggambaran muzik video Pedih terpaksa ditangguhkan jadi saya tidak dapat memenuhi syarat berkenaan,” jelasnya.

Aidil yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di sebuah syarikat latihan swasta turut mengambil kelas latihan vokal bersama Adeep Nahar bagi membuktikan kesungguhan dalam dunia nyanyian.

Saat ditanya adakah dia mampu mengimbangi tuntutan komitmen antara tugasan hakiki dan dunia nyanyian, Aidil berjanji untuk melakukan yang terbaik.

“Jika Pedih menerima sambutan, saya akan mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan tetap dan meneruskan kerjaya nyanyian sepenuhnya.

“Namun itu semua masih dalam perancangan, kita tunggu dan lihat macam mana,” ulasnya sambil tersenyum.

Pedih kini boleh didengari di semua platform digital termasuk Joox, Spotify dan iTunes sejak 24 Ogos lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI