fbpx

Harimau kumbang masuk perangkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU kumbang jantan yang masuk perangkap di pasang Perhilitan Perak di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi dekat Sungai Siput semalam.-PERHILITAN PERAK

IPOH – Seekor harimau kumbang jantan seberat 37 kilogram ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak selepas haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Asli Kenang Baru Jalong Tinggi dekat Sungai Siput semalam.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, perangkap tersebut dipasang berikutan aduan penduduk berkaitan gangguan haiwan liar itu berhampiran kandang lembu di kampung berkenaan pada 24 Disember lalu.

Katanya, tiga kakitangan Perhilitan Daerah Sungai Siput telah datang ke lokasi bagi membuat pemantauan dan mengambil tindakan.

“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seekor harimau kumbang berkeliaran di sekitar kandang lembu.

“Setelah perbincangan dijalankan, kita mengambil keputusan untuk menembak haiwan itu menggunakan ubat pelali pada awal pagi bagi menjamin keselamatan anggota dan mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemantauan di lokasi itu pada pukul 7 petang pada keesokkan harinya mendapati harimau tersebut telah masuk semula ke kawasan hutan belukar berhampiran kawasan kandang lembu.

Katanya, anggota telah menggunakan umpan ayam dan anak lembu bagi menarik perhatian harimau untuk keluar semula namun tidak berjaya.

“Anggota kemudian memasang dua unit perangkap di kawasan tersebut dengan pemantauan terhadap perangkap dijalankan dari masa ke semasa.

“Semasa pemantauan pada pukul 10 malam semalam, didapati harimau kumbang dianggarkan berusia enam tahun yang mendatangkan gangguan telah masuk perangkap,” katanya.

Tambah beliau, harimau kumbang itu telah diserahkan kepada Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk proses pemeriksaan dan rawatan sebelum dilepaskan semula.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI