PALMA, Sepanyol – Gergasi Sepanyol, Barcelona kembali mencerahkan peluang untuk menempatkan diri dalam kelompok empat teratas musim ini selepas menang tipis 1-0 ke atas Real Mallorca pada aksi La Liga awal pagi semalam.
Penyerang pinjaman dari Sevilla, Luuk de Jong muncul wira Barcelona apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-44 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Iberostar itu.
Ketua jurulatih Barcelona, Xavi memuji impak yang ditunjukkan De Jong, 31, sekali gus memberi gambaran penyerang dari Belanda itu akan dilanjutkan kontrak pinjamannya dengan Sevilla hingga hujung musim ini.
“De Jong adalah contoh seorang pemain yang profesional. Dia sentiasa bekerja keras dan sanggup berkorban untuk membuktikan kemampuannya kepada pasukan walaupun statusnya cuma pemain pinjaman.
“Sudah tentu saya gembira dengan prestasi yang dipamerkannya. Hari ini dia membuktikan mengapa kami perlu terus menggunakan khidmatnya di sini,” kata Xavi.
Gol itu adalah jaringan kedua De Jong dalam 10 perlawanan La Liga bersama The Catalans musim ini.
Kemenangan itu juga menyaksikan Barcelona kini melonjak ke tangga kelima dengan 31 mata, hanya ketinggalan dua mata untuk memintas pasukan tempat keempat, Atletico Madrid.
Barcelona selepas ini akan menghadapi pusingan ketiga Piala Raja Sepanyol menentang Linares Deportivo pada Khamis sebelum kembali meneruskan aksi La Liga bertemu Granada tiga hari kemudian. – AGENSI