LONDON – Bekas pemain Aston Villa, Tony Cascarino menggesa pengurus pasukan itu, Steven Gerrard berusaha untuk mendapatkan khidmat Roberto Firmino dan Philippe Coutinho pada jendela perpindahan kali ini.
Gerrard dilaporkan sedang merancang untuk menguatkan jentera serangan pasukan itu dan sedang mengintai peluang untuk mendapatkan beberapa pemain di bahagian tersebut.
Biarpun usaha mendapat Firmino dianggap sukar tetapi Villa perlu mencuba selepas pemain antarabangsa Brazil itu dilaporkan semakin bosan berada di Anfield ekoran gagal menembusi kesebelasan utama pasukan itu.
Cascarino percaya, penyerang Villa ketika ini, Danny Ings gagal memberikan impak yang diinginkan selepas melengkapkan perpindahan dari Southampton dan Firmino adalah pengganti sesuai untuk bergandingan bersama Ollie Watkins.
“Saya ada perasaan seperti itu. Saya fikir Villa perlu cuba untuk mendapatkan nama besar ini dari Liverpool dan bukanlah suatu yang mengejutkan jika Firmino meninggalkan Anfield dan menyertai Villa.
“Danny Ings tidak mampu membantu Villa. Saya gemar aksi Danny kerana dia adalah pemain yang baik tetapi saya fikir dia tidak berjaya membantu kelab ini.
“Ollie Watkins memerlukan rakan gandingan seperti Firmino untuk dia benar-benar dapat mengeluarkan potensi sebenar. Saya berharap Gerrard dapat melihat peluang yang beliau miliki untuk dapatkan Firmino,” katanya.
Dalam pada itu, Cascarino juga menggesa Villa untuk mengadakan rundingan bersama Barcelona bagi mendapatkan Coutinho apabila gergasi Sepanyol itu terdesak untuk melepaskannya.
“Gerrard mengenali Coutinho. Saya fikir urusan perbincangan itu akan berlaku dengan mudah. Gerrard mampu mengembalikan kehebatan Coutinho jika dia menyertai Villa,” jelasnya. – AGENSI