GEORGE TOWN – Pulau Pinang sekali lagi mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila disenaraikan sebagai salah satu daripada 22 destinasi terbaik untuk dikunjungi pada 2022 menerusi artikel yang diterbitkan oleh CNN Travel.
Menerusi artikel itu, Pulau Pinang disenaraikan bersama destinasi pelancongan popular lain seperti Chile, Colombo, Dijon di Perancis, Greenland, Taman Negara Gabon, Jordan, Lahti di Finland dan lain-lain sebagai antara destinasi terbaik untuk dilawati tahun ini.
Artikel CNN Travel itu menyatakan bahawa Pulau Pinang yang terletak berhampiran Laut Andaman itu menawarkan gabungan masakan tradisional Melayu, Cina dan India.
“Di Pulau Pinang juga terdapat Baba Nyonya (Peranakan) yang mana masakan mereka menggabungkan ramuan serantau dan kaedah masakan masyarakat Cina dan Melayu.
“Semuanya boleh didapati di pusat penjaja dan rumah kedai di seluruh negeri, malah di Georgetown ia dipenuhi dengan bangunan bersejarah seperti rumah agam Inggeris sehinggalah ke rumah kedai kaum Cina yang klasik dan masjid untuk masyarakat Islam,” kata artikel itu.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, warga Pulau Pinang berbangga dengan pengiktirafan CNN Travel itu apatah lagi ia destinasi yang menarik perhatian ramai untuk menyelami budaya serta kehidupan masyarakatnya.
“Pulau Pinang kaya dengan pelbagai budaya, makanan, warisan dan elemen penting lain yang dapat menarik pelancong dari jauh dan dekat.
“Warga Pulau Pinang atau juga dikenali sebagai Pulau Mutiara berbangga kerana berjaya ke platform dunia,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Baru-baru ini, Pulau Pinang dinamakan sebagai salah satu daripada 15 pulau terbaik di dunia untuk bersara oleh International Living, sebuah laman web yang merangkumi peluang persaraan untuk peringkat antarabangsa. – K! ONLINE.