PETALING JAYA – Seorang wanita membuat perkongsian di media sosial mengenai bayi yang baru lahir sebenarnya tidak takut bunyi vakum atau pengering rambut.
Berdasarkan sebuah rakaman klip video berdurasi 53 saat yang dikongsikan wanita itu menerusi aplikasi TikTok, @miamiftahf, ketika mengandung, bayi di dalam perut ibunya memang biasa mendengar bunyi bising sebegitu.
Menurut wanita itu, bunyi air dan darah yang mengalir di dalam perut manusia telah menghasilkan bunyi yang bising.
Susulan perkongsian itu, orang ramai terkejut apabila mengetahui bayi sebenarnya tidak takut dengan bunyi bising sebegitu.
“Ilmu baharu hari ini. Tengok video bayi nangis dan selepas itu, ibunya menggunakan pengering rambut dan bayi itu terus senyap. Rupa-rupanya bayi tak takut,” jelas @shabina.
“Bayi memang suka suasana bising sebab sudah biasa dalam perut ibu dengar macam-macam bunyi,” ujar @SitiFatimahAbdWahab.
“Ia dipanggil ‘white noise’. Ada juga aplikasi yang memang ada bunyi seperti hujan, vakum dan lain lain. Bunyi seperti itu menenangkan untuk bayi. Bayi saya dahulu suka bunyi hujan, tetapi ia hanya berkesan untuk bayi di bawah 6 bulan,” kata @shilzzonly
Sehingga kini, perkongsian tersebut meraih lebih 617,200 tontonan dan 60,000 tanda suka di laman aplikasi TikTok. – K! ONLINE.