fbpx

Dua ban rosak di Kuala Langat dijangka siap dibaiki hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan ban yang rosak di RTB Bukit Changgang

SHAH ALAM – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melakukan kerja-kerja pembaikan dan pengukuhan dua ban Sungai Langat di Kuala Langat dekat sini.

JPS dalam kenyataannya berkata, kedua-dua ban itu adalah di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Labohan Dagang.

Katanya, hujan berterusan yang dilaporkan semalam mengakibatkan hakisan ban selebad antara tiga hingga empat meter kira-kira pukul 10 pagi susulan limpahan air Sungai Langat terhadap ban itu.

“JPS telah menggerakkan sebanyak empat jentera di setiap lokasi bagi kerja-kerja pembaikan dan pembaikan ban telah siap dibaiki sepenuhnya di Kampung Labohan Dagang.

“Manakala di RTB Bukit Changgang dijangka siap dibaiki petang ini. Setakat ini, limpahan air Sungai Langat di kawasan jajaran Sungai Langat adalah
terkawal,” katanya.

JPS sebelum ini memaklumkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku selama empat hari sehingga esok melibatkan empat negeri termasuk Selangor meliputi daerah Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat.

Justeru, penduduk dinasihatkan berwaspada kerana keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya fenomena itu disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak.

Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam berkata, pihaknya menerima laporan kejadian ban pecah berdekatan rumah pam Kampung RTB Bukit Changgang pada pukul 10.11 pagi tadi.

“Sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting serta KLIA masih berada di lokasi kejadian ketika ini.

“Air yang melepasi benteng sungai juga sudah menyusut dan berkurangan setakat ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, fenomena air pasang besar yang memasuki hari kedua di Selangor masih dalam keadaan terkawal.

“Berdasarkan laporan, air pasang masih berada bawah 4.9m dan tiada limpahan teruk ke kawasan berdekatan.

“Paras air bagaimanapun mula surut dan tiada pemindahan mangsa dilakukan kecuali di Banting dengan masih ditempatkan di dua buah pusat pemindahan sementara (PPS),” jelasnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI