PETALING JAYA – Nasib dan masa depan anak-anak tidak sah taraf (ATST) di negara ini dianggap sebagai amat mencabar, sekali gus boleh membawa kepada pelbagai masalah sosial dalam kalangan masyarakat.
Situasi itu berlaku memandangkan emosi golongan tersebut sangat tidak stabil selain memiliki moral yang rendah kerana tidak memiliki keupayaan atau pengiktirafan yang sama seperti orang lain.
Pakar Psikologi Bahasa, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Madya Jessica Ong Hai Liaw berkata, golongan berkenaan cenderung untuk mengalami penderaan emosi dan tekanan yang berpanjangan oleh kerana berasa marah selain kecewa dengan keadaan kehidupan mereka.
“Apabila mereka merasakan keadaan hidup mereka tidak terjamin atau stabil oleh harga diri yang rendah, ia akan mengakibatkan masalah psikologi serta tingkah laku.
“Keadaan itu seterusnya membawa mereka kepada pelbagai masalah sosial seperti penglibatan dalam aktiviti dadah dan jenayah lain.
“Ditambah dengan cara membesar yang tidak proaktif kerana ada segelintir daripada mereka tidak bersekolah atau tidak mempunyai kelulusan, mereka juga terpaksa melalui cara hidup yang berlainan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Berita berkaitan: Enggan daftar nikah takut dijel
Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Kosmo! pada 1 Januari 2022 yang mendedahkan mengenai dilema segelintir anak tak sah taraf yang melalui kehidupan sukar hanya kerana tindakan orang tua mereka yang tidak mendaftarkan perkahwinan.
Dalam pada itu, Jessica berkata, bagi anak perempuan yang bergelar ATST, mereka turut berdepan cabaran yang lebih besar melibatkan isu perkahwinan sendiri yang akhirnya boleh menyebabkan kitaran yang tidak sihat.
“Contohnya, terdapat beberapa ATST yang sanggup memilih jalan untuk berkahwin secara haram di luar negara oleh kerana ibu bapa mereka melakukan perkara yang sama.
“Ini pasti akan memberikan kesan yang lebih besar kepada masalah sosial serta institusi kekeluargaan di Malaysia,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, antara kesan kepada masa depan ATST adalah wujudnya krisis identiti dalam kalangan mereka.
“Ini terjadi apabila masyarakat terus menghukum golongan ini sehingga mengakibatkan konflik identiti, isu personaliti, keyakinan diri serta menyalahkan diri.
“Jika kebajikan dan pendidikan yang diterima agak terbatas atau tanpa bimbingan sewajarnya, maka timbul isu keciciran.
“Selain itu, akibat dikecam keterlaluan, menjadi mangsa ejekan serta berdendam membuatkan golongan ini mudah hilang arah kerana tidak disantuni dengan baik,” katanya.
Fatimah berkata, masa depan bagi seorang ATST adalah kurang stabil memandangkan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi terutama melibatkan mental dan moral seseorang itu sejak dari kecil,” katanya.-K! ONLINE