LONDON – Penolong pengendali Arsenal, Albert Stuivenberg mengakui pasukannya tidak bernasib baik selepas gagal mengutip sebarang mata selepas tewas 1-2 kepada juara bertahan, Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Pada aksi di Emirates itu, skuad The Gunners gagal mempertahankan kelebihan jaringan apabila diarahkan beraksi dengan 10 pemain selepas Gabriel dilayangkan kad merah untuk memudahkan City bangkit dengan gol ledakan Riyad Mahrez dan Rodri.
Stuivenberg yang terpaksa mengambil alih posisi pengurus, Mikel Arteta yang disahkan positif Covid-19 percaya pasukannya sudah memberikan yang terbaik di atas padang tetapi beberapa keputusan pengadil yang dianggap berat sebelah telah merencatkan momentum pasukan.
“Saya akui perasaan agak bercampur baur ketika ini kerana saya sangat terkilan kerana kami gagal mengutip sebarang mata tetapi dalam masa yang sama saya sangat berbangga dengan apa yang dipamerkan oleh pemain khususnya selepas diarahkan bermain dengan 10 orang.
“Di atas padang, jelas kelihatan pasukan kami adalah lebih baik berbanding mereka dengan mencipta banyak peluang tetapi inilah lumrah bola sepak, jika gagal memanfaatkan peluang terhidang, pasukan anda akan dihukum,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat City selain melayangkan kad merah kepada Gabriel, jurulatih kelahiran Belanda itu percaya keputusan pengadil sepanjang perlawanan sangat tidak konsisten.
“Jika City diberikan sepakan penalti, pasukan kami juga sepatutnya dihadiahkan penalti apabila Martin Odegaard dikasari pada babak pertama. Tidak keterlaluan untuk saya katakan ini salah satu punca pasukan gagal meraih keputusan positif kali ini,” katanya. – AGENSI