PHOENIX, ARIZONA – Seorang penumpang yang terlewat untuk menaiki sebuah penerbangan dilaporkan berlari ke kawasan landasan bagi menghentikan pesawat tersebut, lapor akhbar Mirror UK semalam.
Vickie Meyers, 53, memberitahu polis bahawa dia ketika itu dalam keadaan mabuk dan bertindak mengejar pesawat Spirit Airlines di Lapangan Terbang Sky Harbour, Phoenix pada Ahad lalu.
Wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di St. Louis, Missouri berkata, dia keliru mengenai masa perlepasan pesawat dan terlepas panggilan masuk yang terakhir.
Meyers yang pada mulanya gagal memasuki pintu perlepasan dengan memasukkan kod rawak, keluar melalui pintu kecemasan yang membawanya ke landasan.
“Setelah menuruni tangga, wanita itu cuba mendapatkan perhatian juruterbang dengan berlari ke hadapan pesawat,” jelas penumpang pesawat, Bryan Jones kepada agensi berita KSAZ-TV.
Meyers kemudian ditahan kakitangan lapangan terbang sehingga polis tiba. Dia dibawa ke penjara daerah Maricopa dan didakwa atas kesalahan menceroboh. – Agensi