fbpx

Trauma rumah tenggelam banjir 2011, penduduk pindah PPS awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Shazwan bertanyakan keadaan Mohammad (dua, kanan) dan Jamal (kanan) ketika ditemui di PPS SMK Gemas, di sini, tadi. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH

TAMPIN – Penduduk di Taman Sungai Gemas, di sini, segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gemas sebaik diarahkan pihak berkuasa pada pukul 10 pagi tadi.

Salah seorang penduduk, Jamal Awang, 58, berkata, dia lima sekeluarga sudah mula bersiap sedia untuk berpindah memandangkan beberapa lokasi di sekitar Gemas sudah mula dilanda banjir dan berasa trauma apabila terkenang peristiwa banjir awal tahun 2011 yang menyebabkan kediaman mereka tenggelam banjir sehingga bumbung.

Menurutnya yang merupakan bekas tentera, kejadian berkenaan berlaku begitu pantas sehingga menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik, perabot dan pakaian.

“Kali ini kami sudah bersedia, bila diarahkan pindah ke PPS, kami terus pindah dan bawa dokumen penting serta pakaian supaya tidak terendam dalam banjir. Masa tu air sudah melimpah masuk ke rumah, namun, semuanya sudah bersedia ke PPS dengan barang masing-masing,” katanya ketika ditemui di PPS SMK Gemas, di sini, tadi.

Bagi seorang lagi penduduk, Fazylin Mohammad, 24, kejadian banjir besar tahun 2011 berkenaan masih segar dalam ingatannya walaupun pada masa berkenaan dia masih lagi di tingkatan tiga.

Menurutnya yang merupakan anak bongsu dari lima beradik, pada masa itu, ayahnya yang juga bekas tentera, Mohammad Abdul Rahim 64, masih sihat lagi dan menguruskan barangan dan keselamatan mereka sekeluarga.

“Banjir kali ini, ayah masih dalam keadaan kurang sihat disebabkan sakit strok sejak tahun 2016. Jadi, saya, ibu dan penduduk segera keluar awal sebaik dinasihatkan pihak berkuasa. Saya hanya bawa dokumen penting sahaja dan bagi saya memadailah semua ahli keluarga saya berpindah ke tempat yang lebih selamat sebelum air makin naik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Mejar Mohd Shazwan Afifi Abd Rani menyarankan bekas tentera yang terjejas akibat banjir supaya mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) atau pejabat daerah di kawasan masing-masing bagi memudahkan bantuan khusus disalurkan kepada mereka.

Malah menurutnya, pihaknya juga turun padang dalam mengumpul sendiri data berkaitan bekas tentera terjejas banjir di PPS antaranya di sekitar Alor Gajah dan Gadek di Melaka, serta, Gemas dan Palong di Negeri Sembilan.

“Dalam tempoh dua hari ini dengan bantuan wakil vateren ATM, kita berjaya mengesan 30 bekas tentera terjejas banjir di PPS termasuk dua balu. Maklumat ini kita akan gunakan bagi menyalurkan bantuan khas buat bekas tentera bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan banjir,” katanya.  – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI