TAMPIN – Seorang lelaki memanfaatkan sebaik mungkin bot tanpa enjin yang diberikan adiknya bagi membantu memindahkan barang serta menyelamatkan kucing yang terperangkap banjir di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, di sini, sejak semalam.
Lelaki berkenaan, Zaini Ahmad, 53, berkata, adiknya Zaidi Ahmad, 30an, memberikan bot tersebut pada tahun lalu sebagai persiapan sekiranya taman perumahan yang didudukinya itu dilanda banjir.
Menurutnya, sebaik kawasan berkenaan mula dilimpahi banjir seawal pukul 4.30 pagi semalam, terdapat kucing peliharaan yang tertinggal serta tidak di bawa berpindah bersama ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (Felda) Sungai Kelamah.
“Jadi saya pergi dari lorong ke lorong mencari kucing-kucing yang masih terperangkap. Ada yang saya ambil sedang berada di tingkap, ada di pagar dan ada juga yang berada di atas barang yang terapung.
“Ikutkan ada lebih 50 ekor kucing juga yang berjaya diselamatkan dan saya juga memberikan khidmat percuma kepada jiran-jiran yang mahu memindahkan barang mereka ke tempat selamat. Cumanya disebabkan bot ini tidak berenjin, saya menggunakan pendayung dari kayu serta ada kalanya menarik bot meredah banjir apabila terdapat barangan di dalam bot,” katanya ketika ditemui di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, di sini, tadi.
Difahamkan, lebih 200 rumah penduduk terjejas banjir di taman perumahan berkenaan sejak pagi semalam.
Sementara itu, bagi seorang penduduk, Muhammad Nur Jamaah Zurimie, 26, berkata, sekitar pukul 11 malam, penduduk sudah bersedia untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat berikutan keadaan cuaca yang hujan berterusan.
Menurutnya yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, sekitar pukul 4.30 pagi air tiba-tiba melimpah ke kawasan perumahan terutamanya rumah di bahagian belakang yang lebih rendah sehingga dalam tempoh kurang sejam, air naik separas hampir dua meter.
“Kami hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja. Barangan elektrik dan lain-lain terpaksa ditinggalkan disebabkan air naik terlalu cepat,” katanya.
Bagi Zakaria Ahlan, 35, berkata, dia sudah menetap di penempatan berkenaan selama 10 tahun dan dalam tempoh tersebut, sebanyak dua kali kejadian banjir besar berlaku sehingga menyebabkan banyak barang penduduk rosak.
Menurutnya, dia kini berasa agak bimbang melihat keadaan cuaca yang berterusan masih hujan yang ada kalanya agak lebat.
“Pagi tadi nampak macam dah surut sedikit sehingga penduduk boleh masuk ke rumah bagi mengambil barang-barang penting. Namun, menjelang tengah hari air makin naik kembali dan sekiranya hujan masih berterusan dibimbangi paras air menenggelami rumah kami lebih tinggi,” katanya. – K! ONLINE