BATU PAHAT – Lima warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka mengalami kebocoran sebelum karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Nipah ke Batam, Indonesia, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu, kelima-lima lelaki berusia 24 hingga 44 tahun itu bagaimanapun terselamat selepas dibantu kapal kargo yang dalam perjalanan melalui Selat Melaka.
Kapal kargo yang berada dikedudukan 11.4 batu nautika barat daya Tanjung Segenting, Batu Pahat memberi bantuan kecemasan awal dengan memberikan rakit keselamatan kepada mangsa.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima makluman awal dari Vessel Traffic System (VTS) Klang mengenai penemuan sebuah rakit keselamatan kira-kira pukul 12.35 tengah hari tadi.
“Bertindak atas aduan, bot Petir 51 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi mengambil dan menyelamat kesemua mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi, kesemua mangsa telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran lokasi kejadian.
“Mangsa berumur di antara 24 hingga 44 tahun warga Indonesia dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nurul Hizam berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua mereka dalam perjalanan dari Pulau Nipah, Indonesia menuju ke Batam, Indonesia sebelum bot kayu yang mereka naiki mengalami kebocoran dan karam sekitar pukul 1 pagi semalam.
Katanya, sebuah kapal dagang telah menjumpai mereka pada pukul 1.15 pagi semalam dan memberikan rakit keselamatan kepada mereka sebagai bantuan awal kecemasan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Batu Pahat bagi siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia,” katanya.-K! ONLINE