KOTA BHARU – Sebanyak empat kes lemas melibatkan mangsa banjir sepanjang musim tengkujuh yang dilaporkan di Kelantan hujung tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua kes itu berlaku di Pasir Mas melibatkan individu berusia antara 13 hingga 65 tahun.
“Kes itu termasuk ketika mangsa menangkap ikan, menaiki perahu dan bukan semata-mata mereka maut semasa bermain air bah.
“Oleh itu, kita berharap semua masyarakat yang terlibat dengan banjir supaya menjaga keselamatan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud kepada Timbalannya, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali yang kini memangku jawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, polis dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan sentiasa memantau pergerakan orang ramai terutamanya di majlis kenduri selepas Kelantan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok.
Ujarnya, masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan polis akan menjalankan tindakan penguatkuasaan jika ada yang mengambil sikap sambil lewa. – K! ONLINE