Oleh AIMUNI TUAN LAH
KUALA KRAI – Sepasang suami isteri dari Desa Qaseh di sini mengusahakan kira-kira 2,000 bongkah cendawan kukur dan cendawan tiram kelabu bagi mencari dana untuk disedekahkan kepada asnaf yang kurang berkemampuan.
Che Norhayati Mohamed, 54, bersama suami, Mejar (B) Md. Sabri Said, 62, terlibat dengan tanaman itu sejak tiga bulan lalu.
Menurut Che Norhayati, mereka mengeluarkan belanja sendiri untuk mendapatkan bekalan cendawan kukur dan cendawan tiram kelabu daripada pembekal di Pasir Mas dan Terengganu.
Katanya, mereka turut membuat sebuah bangsal khas di pekarangan rumah bagi menempatkan cendawan berkenaan.
“Selain menjual cendawan untuk perbelanjaan asnaf, kami turut memberi secara percuma kepada mereka untuk mengusahakan sendiri tanaman itu di rumah masing-masing.
“Setakat ini, 20 asnaf dari Kuala Krai, Machang, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Lumpur telah menerima cendawan berkenaan untuk diusahakan di rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Che Norhayati yang juga pengasas kumpulan aktivis masyarakat, Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf berkata, tanaman cendawan itu mampu menghasilkan pulangan lumayan jika diusahakan secara serius.
Katanya, kedua-dua jenis cendawan itu sangat mudah dijaga dan hasilnya dapat dituai sepanjang masa.
“Kita akan ajar mereka cara menanam dan tuai. Selepas mendapat hasil, asnaf berkenaan akan menjual hasil tanaman itu untuk menambah pendapatan keluarga mereka.
“Kita mahu asnaf berkenaan berdikari dan membantu mengeluarkan keluarga mereka daripada kemiskinan yang dialami,” katanya.
Tambah Che Norhayati lagi, harga pasaran untuk cendawan kukur basah kini mencecah harga RM50 hingga RM80 sekilogram, manakala cendawan tiram kelabu pula RM12 sekilogram.
Katanya, cendawan yang dijual di rumahnya pula akan digunakan untuk membeli keperluan asnaf seperti baju sekolah, lampin pakai buang, beras dan barangan lain.
“Saya berhasrat untuk menanam secara besar-besaran tanaman ini bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
“Saya juga mengalu-alukan sekiranya terdapat pihak yang ingin membantu usaha murni ini yang digerakkan oleh Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf,” katanya. -K!ONLINE