fbpx

KPTM penuhi impian Syakirah lanjut pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Impian seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (2020) melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi akhirnya tercapai apabila berjaya menerima tawaran di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Bharu, Kelantan.

Nur Syakirah Noorazli, 19, telah memulakan sesi pengajian dalam jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada 20 Disember lalu.

Perkara itu diumumkan Pengarahnya, Raja Izuddin Raja Ahmad setelah pelajar terbabit bersetuju menerima tawaran daripada pihaknya baru-baru ini.

Menurut Raja Izuddin, pihaknya turut melahirkan kegembiraan apabila dapat menunaikan impian pelajar tersebut setelah kisah remaja itu disiarkan dalam akhbar tempatan pada 17 Disember lalu.

“Saya dihubungi ramai rakan termasuk pihak MARA berhubung perkara terbabit dan ambil maklum mengenai berita yang disiarkan dengan terus menghubungi pelajar berkenaan. Memang ketika itu dimaklumkan yang dia ada menerima beberapa tawaran lain.

“Nur Syakirah dan pelajar lain kini sedang mengikuti pengajian secara online dan dijangka akan mula bersemuka pada awal April ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau memberitahu lagi, ketika ini terdapat seramai 350 pelajar yang sedang mengikut jurusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di KPTM Kota Bharu bagi semester ini.

Sementara itu, bapa Nur Syakirah, Noorazli Bahari, 50, turut meluahkan kesyukuran apabila hasrat anak bongsunya itu untuk melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi akhirnya terlaksana.

“Terima kasih kerana memberi ruang untuk anak saya menyambung pengajian di KPTM dan inilah impian yang diimpikannya selama ini,” katanya ringkas.

Pada 17 Disember lalu, akhbar melaporkan Nur Syakirah masih menaruh harapan melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) meskipun 12 permohonannya untuk mengikuti program pengajian gagal selain rayuannya turut ditolak.

Biarpun pasrah, namun dia tetap setia menunggu dan mengharapkan berlakunya keajaiban untuk membolehkannya melangkah kaki ke menara gading suatu hari nanti. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI