KOTA TINGGI – Polis mengesahkan video tular berkenaan kejadian tebing runtuh yang berlaku di Bukit Pelali, Pengerang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata anggota polis dari Balai Polis Sungai Rengit telah berada di lokasi untuk membuat pemantauan.
“Kejadian ada berlaku, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Runtuhan hanya melibatkan tebing sahaja.
“Runtuhan tanah yang berlaku juga tidak menutupi jalan belakang taman perumahan disana,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau meminta orang ramai agar berhati-hati dan tidak berada dilokasi kejadian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Terdahulu, video berdurasi 29 saat memaparkan runtuhan tanah di tebing bukit berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi dari warga nitizen.
Rata-rata mengandaikan kejadian itu berlaku berpunca akibat daripada kesan bukit berkenaan ditarah untuk pembangunan di kawasan tersebut.- K! ONLINE