PORT DICKSON – Sembilan remaja lelaki ditahan polis selepas membuat aksi merbahaya ala ‘Superman’ selain berlumba dalam Ops Samseng di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 22 tahun itu ditahan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
“Mereka ditahan kerana membuat aksi merbahaya pada diri sendiri dan orang lain seperti berlumba dan bersaing sesama sendiri, membuat aksi ‘zig zag’ di lorong lebuh raya, menunggang sambil meletak kaki atas motor ala ‘Superman’ serta membongkok badan semasa menunggang.
“Tangkapan dilaksanakan di dua lokasi berbeza iaitu di Kilometer 20-25 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (arah ke Port Dickson) dan Kilometer 15-17 Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (arah ke Seremban),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini..
Menurut Aidi Sham, kesemua suspek dan sembilan buah motosikal yang digunakan untuk aksi berkenaan telah di bawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu dan bahaya.
“Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara kurang lima tahun dan denda RM5,000-RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lebih lima tahun,” katanya. – K! ONLINE