BATU KURAU – Operasi mencari seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) yang dikhuatiri hilang di Kampung Senpeneh, Cempaka dekat sini yang masuk hari ketiga diteruskan pagi ini.
Mangsa yang berusia 26 tahun itu pada Jumaat lalu hilang di kawasan hutan di belakang rumahnya kira-kira pukul 4 petang sebelum pencarian dilakukan penduduk kampung.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak, gerakan mencari kini dengan kekuatan seramai 32 anggota bomba dan polis dibantu 60 orang penduduk kampung.
Menurut jurucakap itu, operasi pencarian bermula pukul 9 pagi disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Kurau dan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).
“Mangsa dipercayai hilang di kawasan hutan pada jarak dua kilometer (km) dari rumahnya.
“Hari ini zon operasi pencarian diperluaskan sehingga 10km berbanding enam kilometer sebelum ini,” ujar jurucakap tersebut.
Pencarian turut menggunakan khidmat unit anjing pengesan bomba, K9 manakala operasi diketuai Penguasa Bomba Mohamed Habib Mohamed Dali. – K! ONLINE